Bezanya sesak Ramadan di Kuala Lumpur, Mekah dan Kaherah

BEGITU pantas masa berlalu. Hari ini genap 20 hari kita berpuasa. Syukurlah, kerana kita dapat menjalani ibadah itu dengan sempurna. Bayangkan jika kita berada di Palestin, Mesir atau Syria. Di sesetengah negara, mereka tidak mampu bersahur, berbuka atau mengerjakan solat tarawih dengan sempurna. Mereka ‘menderita’ kerana persengketaan dan ‘perang saudara’ disebabkan kuasa politik. Banyak pihak di dunia Islam yang sedang bersengketa tidak menghormati kemuliaan bulan Ramadan. Mereka gagal menghentikan segala bentuk permusuhan serta pertumpahan darah. Akibatnya rakyat yang ingin meningkatkan ibadah menjadi mangsa. Bulan untuk bertolak ansur dan bermaaf-maafan bertukar kepada suasana pe-rang, kacau-bilau dan krisis kemanusiaan.

Ramadan adalah bulan suci, sejahtera dan selamat yang menuntut umat Islam menjauhkan diri daripada semua bentuk dosa, mencari keampunan dan bertaubat, sejajar dengan ajaran dan nilai Islam. Malangnya, di sesetengah negara dan kawasan penduduk Islam, hari-hari dan malam bulan Ramadan yang berkat ini berlalu begitu sahaja dengan suasana huru-hara, persengketaan dan masyarakat berpecah-belah.

Eloklah, kita di Malaysia merenung sejenak dan menginsafi apa yang kita nikmati di negara ini berbanding negara yang sedang bergelut dengan suasana kacau-bilau. Di Kaherah misalnya, orang ramai berasak-asak dalam demonstrasi dan bertempur dengan anggota pasukan keselamatan. Akhirnya ramai yang terkorban dan cedera sama ada ditembak atau mungkin dipijak. Apakah suasana itu ada di negara kita? Mungkin hanya ketika puak-puak yang tidak bersetuju dengan kerajaan mengadakan demonstrasi haram di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) atau Dataran Merdeka. Semalam dan kelmarin, kita dapat melihat suasana berasak-asak di sekitar Jalan TAR. Di atas jalan raya, ‘kenderaan melekat’, maknanya bergerak terlalu perlahan. Kawasan letak kereta juga sesak. Caj parkir sekali masuk RM8. Ada juga RM10. Di lorong TAR dan di Jalan Masjid India, orang kita berasak-asak membeli-belah sebagai persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri. Ada dalam kalangan mereka yang ‘terperangkap’ dalam suasana membeli-belah ini terpaksa berbuka di kaki lima kedai atau di tepi jalan kerana restoran, kedai makan atau medan selera di kawasan berkenaan penuh seawal pukul 6 petang. Dalam suasana sebegini, orang kita dapat mencari rezeki tambahan dengan menjual minuman atau kuih muih kerana ketika berbuka sekurang-kurangnya, mereka yang tidak mendapat tempat di kedai atau restoran memerlukan sedikit minuman dan kuih. Mujur di dalam kesesakan itu, tidak ada yang cedera.

Melihat suasana di lorong TAR itu, saya teringat bagaimana suasana menjelang iftar di sekitar Masjidilharam, Mekah dan Masjid Nabawi, Madinah. Ketika itu ramai yang menghulurkan minuman dan makanan kepada jemaah. Menjelang waktu iftar, ada saja tangan yang menghulurkan makanan dan minuman. Ada roti, pelbagai jenis kurma, kek, teh herba, susu, minuman kotak, botol dan tin. Bagi yang tidak mampu menyediakan semua itu, mereka juga ada cara tersendiri untuk ‘memberi’ sesuatu. Mereka mengambil air zam-zam untuk diedarkan.

Mereka sedar bahawa menjamu seorang yang berpuasa untuk berbuka adalah satu amalan yang baik dan mendapat ganjaran pahala yang besar.

Selepas menjamah sedikit makanan, mereka yang tidak mendapat tempat di dalam masjid atau dataran akan solat maghrib sama ada di atas jalan atau di kaki lima kedai. Suasana begitu tidak dapat dilihat di negara kita walaupun ramai ‘terperangkap’ ketika waktu berbuka kerana membeli-belah. Mungkin wujudnya kemudahan surau dan masjid di kawasan sekeliling.

Kini kita berada pada malam 10 terakhir. Dalam tempoh inilah, ramai yang ternanti-nantikan malam Lailatulqadar. Di Mekah, jumlah jemaah umrah akan meningkat secara mendadak dalam tempoh ini. Masing-masing mahu mempertingkatkan ibadah mereka. Bagi kita di Malaysia, sama-samalah untuk turut sama melipatgandakan ibadah pada malam-malam terakhir ini. Penuhilah masjid dan surau bukannya memenuhi pusat membeli-belah atau gerai jualan yang sesetengahnya menjalankan perniagaan sehingga awal pagi.

Sudah lumrah, masjid dan surau hanya penuh pada hari-hari terawal Ramadan. Tetapi menjelang malam-malam terakhir, saf mula berkurangan kerana lebih sibuk membuat persiapan hari raya. Lagu-lagu hari raya menenggelamkan semangat tarawih. Begitulah suasana Ramadan dan menjelang Syawal. Suasana di negara kita lebih baik berbanding negara-negara lain. Adakah kita menggunakan suasana ini untuk memperbaiki dan meningkatkan ibadah pada hari-hari terakhir Ramadan?

UMA290713010C001#

Related posts

Leave a Comment