Hari-hari terakhir Ramadan menjelang 1 Syawal

RAMADAN semakin hampir meninggalkan kita. Sepuluh malam terakhir dan malam-malam ganjil iaitu 21, 23, 25, 27 yang dikatakan akan muncul Lailatulqadar sudah berlalu. Hanya tinggal satu malam sahaja, 29. Selepas itu, kita akan menyambut Hari Raya Aidilfitri. Dalam tempoh hari-hari terakhir ini, adakah kita terus berusaha untuk menambah ibadah pada bulan yang penuh keberkatan ini? Mungkinkah ada dalam kalangan kita semakin lemah untuk melangkah ke masjid atau surau? Ketika ini, di dua tanah suci, Mekah dan Madinah, berjuta umat Islam terus melakukan ibadah umrah serta ibadah-ibadah lain sehingga menjelang hari raya. Jumaat lalu, kota Mekah yang sebelum ini panas terik dilanda hujan lebat sesudah solat Jumaat dan berhenti seketika kira-kira pukul 2.30 petang. Setengah jam kemudian, hujan kembali lebat dan berhenti sebelum azan asar sekitar pukul 3.45 petang. Pastinya di kota Mekah, kemeriahannya amat terasa. Meriah dengan ibadah sepanjang masa, bermula waktu iftar (berbuka) sehinggalah ke subuh, bukannya meriah dengan sibuk membeli-belah untuk menyambut hari raya atau meriah dengan lagu-lagu hari raya.

Beberapa hari lalu, mesej FB Salam Juwie dari tanah suci menunjukkan umat Islam ‘berlumba-lumba’ melakukan ibadah dengan memenuhi setiap ruang masjid. Bagi yang gagal memasuki ruang dalam masjid atau dataran Masjidilharam, mereka solat di atas jalan raya atau di kaki lima bangunan pusat membeli-belah yang berhampiran. Suasana ini mengingatkan saya ketika berada di sana pada sepuluh malam terakhir tahun lalu sehinggalah pada hari raya pertama. Memang ketika di sana, tidak terasa suasana hari raya melainkan ibadah semata-mata. Lebih terasa pada malam terakhir sebelum meninggalkan Ramadan. Mungkin perasaan seumpama itu hanya datang ketika berada di sana sahaja. Seperti diselak minggu lalu, memang terasa perbezaan Ramadan di Mekah berbanding di dalam negara

Ketika ini di ibu negara, semakin ramai yang beransur-ansur meninggalkan Kuala Lumpur untuk pulang berhari raya di kampung halaman masing-masing. Sejak Jumaat lalu juga, pusat bandar raya sesak. Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) menjadi lokasi tumpuan ramai untuk membeli-belah. Suasana pada pukul 3 pagi di Jalan Tuanku Abdul Rahman seperti keadaan pada pukul 8 malam. Begitulah ghairahnya orang kita membeli-belah ketika masih ramai yang mencari keberkatan Ramadan khususnya melakukan solat sunat tarawih, witir, serta menyertai majlis qiamullail.

Melihat suasana rakyat Malaysia melakukan persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri ini, jelaslah kepada kita betapa bertuahnya hidup di bumi bernama Malaysia. Cuba renungi sejenak bagaimana rakan-rakan seagama kita menjalani ibadah puasa Ramadan di negara-negara lain yang sedang bergolak khususnya di Palestin, Mesir dan Syria. Begitu juga dengan selatan Thailand.

Adakah mereka berpeluang melakukan solat tarawih dalam suasana tenang tanpa gangguan peluru yang mungkin meragut nyawa? Di negara kita, gangguan ketika solat tarawih terutama pada malam-malam terakhir ini mungkin disebabkan dentuman mercun dan bunga api. Pada masa yang sama, ada dalam kalangan remaja kita yang cedera teruk termasuk kehilangan jari akibat kreativiti mereka mahu mencipta mercun buatan sendiri.

Ramadan di negara kita juga membawa rezeki yang melimpah-ruah. Peluang perniagaan terbuka luas pada bulan ini. Lihat sahaja bazar Ramadan yang tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan. Setiap bazar Ramadan yang menyediakan pelbagai jenis makanan dan minuman menjadi tumpuan ramai. Begitu juga dengan mereka yang menjual pakaian dan kuih muih menjelang hari raya. Orang yang membeli juga ramai. Khabarnya tahun ini, sambutan yang diterima oleh para peniaga amat luar biasa. Contohnya dapat dilihat di Jalan TAR yang penuh sesak setiap cuti hujung minggu. Itulah rezeki yang dinikmati peniaga-peniaga pada bulan Ramadan kali ini. Ini juga petanda bagaimana keupayaan membeli dalam kalangan rakyat negara ini. Tidak cukup di bazar Ramadan, ramai juga yang mampu berbuka puasa bersama keluarga di hotel-hotel yang menawarkan bufet sekurang-kurangnya pada harga RM80 bagi seorang dewasa. Begitulah murahnya rezeki di negara kita.

Bagi anak-anak yatim, orang miskin serta mereka yang kurang berkemampuan, golongan ini juga tidak terkecuali menikmati rezeki yang jauh lebih baik berbanding pada bulan-bulan biasa. Mereka bukan sahaja diundang untuk berbuka puasa bersama di tempat-tempat eksklusif tetapi juga menerima pelbagai bantuan sama ada kewangan atau pakaian untuk berhari raya. Syarikat korporat, orang perseorangan dan pelbagai pertubuhan tampil menghulurkan bantuan bagi meringankan bebanan golongan ini sambil mengambil keberkatan Ramadan ini. Diharapkan, perhatian berat yang diberi kepada golongan ini tidak terbatas pada bulan Ramadan sahaja. Janganlah apabila berakhir sahaja Ramadan, sikap keprihatinan dan dermawan turut terhenti.

Jenguklah mereka pada bulan-bulan seterusnya supaya nasib mereka terus terbela. Tidak wajar menunggu Ramadan akan datang untuk ‘menjenguk’ semula kerana masih belum pasti sama ada kita mampu hadir semula pada Ramadan akan datang.

Kepada yang sedang dalam perjalanan pulang ke kampung, berhati-hatilah di jalan raya. Memandulah secara berhemah. Seperti mesej Perdana Menteri, Najib Tun Razak, jangan jadikan jalan raya sebagai pusara tidak bernama. Sejak kebelakangan ini, banyak kes kemalangan maut yang melibatkan jumlah korban yang ramai. Walaupun pihak berkuasa mengambil pelbagai langkah bagi mengurangkan kadar kemalangan, tetapi jumlah nahas terus meningkat. Hampir setiap hari ada yang maut di jalan raya. Memang ajal maut di tangan Tuhan tetapi kita diseru untuk berikhtiar bagi mengelak tragedi.

Kepada mereka yang tidak pulang berhari raya, jenguklah kawasan sekeliling terutama jiran-jiran yang pulang berhari raya di kampung. Dalam tempoh inilah, banyak penyangak mengambil kesempatan. Jangan biarkan penyangak-penyangak mengambil kesempatan ‘berhari raya’ di rumah jiran yang pulang beraya. Hidupkan semangat kejiranan. Ambil tahu apa yang berlaku di rumah jiran yang ditinggalkan.

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI

Semoga Ramadan yang dilalui sekarang dan akan berakhir sehari dua lagi akan lebih baik daripada Ramadan tahun lalu. Sama-samalah kita memohon amalan yang dilakukan sepanjang Ramadan ini diterima serta mendapat ganjaran pahala. Semoga kita diberi peluang untuk menemui semula Ramadan pada tahun hadapan supaya dapat memperbaiki atau meningkatkan lagi kualiti pengisiannya agar menjadi yang lebih baik. Mungkin banyak kekurangan yang berlaku pada tahun ini. Pada kesempatan ini juga, Selak menyusun sepuluh jari memohon maaf sekiranya selama ini terdapat kata-kata dalam ruangan ini yang boleh menyinggung perasaan sama ada secara langsung atau tidak langsung. Terima kasih kepada anda yang mengirimkan kad ucapan atau khidmat pesanan ringkas (SMS) menjelang hari raya ini. Selamat jalan Ramadan, selamat datang Syawal. Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf zahir batin.

UMA050813010C001_2#

Related posts

Leave a Comment