Shahrizat, Khairy sedia dicabar

PERTANDINGAN bagi merebut jawatan dalam sayap parti UMNO iaitu Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Wanita pada Oktober ini pasti berlaku. Kemungkinan semua jawatan bermula daripada ketua, naib ketua serta exco akan dipertandingkan. Setakat ini, jawatan naib ketua Pemuda dan Wanita sudah terbuka untuk dipertandingkan. Jawatan dalam Wanita kosong berikutan tindakan Kamilia Ibrahim beralih arah selepas menjadi calon Bebas Parlimen Kuala Kang-sar pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) yang lalu. Bagi Pemuda pula, penyandang sekarang, Razali Ibrahim tidak layak mempertahankan jawatan itu kerana had umur. Jumaat lalu, Shahrizat Abdul Jalil menegaskan pendirian untuk mempertahankan jawatan ketua yang disandangnya. Mungkin ada yang menjangka beliau akan berundur berikutan tidak dicalonkan pada PRU lalu dan tidak lagi menganggotai Kabinet. Setakat ini, nama bekas Ketua Puteri UMNO, Azalina Othman Said telah muncul. Sejauh mana kesediaan Azalina belum pasti. Mungkinkah akan timbul nama-nama lain dalam kalangan Exco Wanita yang berminat?

Turut menarik perhatian tentulah jawatan yang Ketua Pemuda UMNO yang disandang oleh Khairy Jamaluddin (KJ) sejak tahun 2008. Beliau juga harus bersedia untuk dicabar pada kali ini. Kedudukan sebagai menteri Kabinet belum menjamin laluan mudah untuknya menang tanpa bertanding. ‘Gelanggang pertandingan’ terbuka luas apabila Pergerakan Pemuda UMNO Johor ‘merintis laluan’. Pemuda Johor baru-baru ini memutuskan supaya pemilihan Pemuda UMNO Pusat pada perhimpunan akan datang dibuat secara terbuka dengan mempertandingkan semua jawatan. Semalam, cadangan itu pula disokong oleh Pergerakan Pemuda UMNO Pahang. Khairy pula menghormati pandangan suara akar umbi itu. Beliau tentunya tidak ada pilihan lain untuk menafikan hasrat itu. Walaupun masih belum pasti, siapa akan mencabarnya tetapi sekurang-kurangnya KJ perlu bersedia untuk mempertahankan jawatan tersebut lebih-lebih lagi dengan kedudukannya sebagai Menteri Belia dan Sukan.

Menyelak kembali kemunculan KJ di pentas Pemuda UMNO, beliau memenangi kerusi itu selepas mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Hishammuddin Tun Hussein. Dalam pemilihan yang diadakan, beliau memperoleh 304 undi mengalahkan Mohd Khir Toyo (252) dan Mukhriz Tun Mahathir (232). Siapakah pula yang bersedia mencabar KJ pada kali ini? Mungkinkah Mukhriz yang kini Menteri Besar Kedah akan mencuba sekali lagi? Adakah Razali bersedia mencabar KJ bagi membolehkannya meneruskan peranan dalam Pemuda? Sehingga semalam, Razali menyatakan sokongan kepada KJ untuk mempertahankan jawatan itu. Namun dalam dunia politik, 1001 macam keputusan boleh berlaku. Hari ini tidak sama dengan hari esok. Mungkin ramai lagi yang akan tampil menyatakan sokongan kepada KJ untuk mempertahankan jawatan itu. Orang politik akan membuat pelbagai tafsiran mengenai sokongan mana-mana pihak terhadap seseorang. Menyokong mempertahankan jawatan tidak sama dengan hasrat akan mencabar atau menyokong penyandang (KJ) dicabar. Buat masa sekarang banyak pihak termasuk barisan exco yang `berlapik’ dalam kenyataan mereka berhubung pemilihan ini.

Hakikatnya, pemilihan kali ini tidak semudah dahulu. Jika dulu tidak sampai 1,000 orang perwakilan membuat keputusan di Dewan Merdeka, Kuala Lumpur tetapi kali ini jumlah itu amat jauh berbeza. Dianggarkan 70,000 akar umbi Pemuda layak membuat pilihan kali ini. Berdasarkan pindaan yang dibuat, peluang untuk menawarkan diri lebih terbuka dan suara akar umbi pula bakal menjadi penentu.

Pindaan perlembagaan pada 2009 yang terpakai pada kali ini merupakan transformasi parti bagi membolehkan UMNO lebih demokratik, telus dan inklusif. Maka pertandingan dalam parti tidak dapat dielak.

Semua pemimpin UMNO di peringkat pusat termasuk barisan Exco Pemuda UMNO perlu bersedia menghadapi pertandingan pada kali ini yang dijangka lebih mencabar. Dengan pendekatan baru pemilihan ini, ramai ‘bakat terpendam’ terutama orang muda dan profesional yang berada di segenap pelusuk bahagian boleh diketengahkan. Hak untuk bertanding tidak lagi terhad kepada yang berjawatan sama ada di dalam kerajaan pusat atau negeri. Anggota-anggota UMNO termasuk pemimpin di semua peringkat perlu menerima perubahan ini. Sindrom takut kepada bayang-bayang perlu dibuang. Orang lama tidak perlu takut kepada orang muda dan orang muda yang sudah ada tempat tidak perlu takut kepada orang lebih muda yang lebih berwibawa. Inilah masa UMNO untuk membuka ruang seluas-luasnya kepada setiap anggota parti menawarkan diri untuk memperkukuhkan UMNO dalam menghadapi cabaran lebih besar pada PRU akan datang. Apa yang lebih penting, buang sikap pentingkan diri sendiri dan puak. Jangan halang orang lain ber-tanding dengan memasang `jentera’ untuk mengganggu orang lain yang mahu menawarkan diri bertanding.

UMA220713010C001#

Related posts

Leave a Comment