Masih banyak cabaran umat Islam pada 1434H

MINGGU ini ramai yang mengambil kesempatan untuk bercuti panjang kerana ada ‘bonus’ cuti umum selama dua hari. Esok rakyat Malaysia bercuti sempena Hari Deepavali. Pada hari Khamis pula, kita bercuti untuk menyambut Maal Hijrah (Awal Muharam) 1434H. Ramai yang mengambil cuti panjang lebih-lebih lagi apabila sekolah mula bercuti pada Jumaat lalu. Kepada masyarakat India khususnya rakan-rakan, pembaca, pengiklan dan pengedar akhbar Utusan Malaysia, diucapkan selamat menyambut Hari Deepavali.

Sekali lagi kita bersyukur kerana rakyat Malaysia pelbagai kaum dapat menyambut hari-hari perayaan mereka dalam suasana yang harmoni.

Baru-baru ini, umat Islam menyambut Hari Raya Aidiladha juga dalam suasana yang baik berbanding ada di negara lain yang terpaksa ‘membatalkan’ sambutan itu atau menyambutnya dalam suasana negara yang bergolak dengan perang saudara.

Bagi kita di Malaysia, selepas 55 tahun merdeka, peristiwa 13 Mei 1969 telah banyak mengajar erti perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum. Begitu juga dengan pendekatan sederhana dalam masyarakat. Kini kita bangkit daripada kesilapan lalu dan pastinya tidak mahu peristiwa yang sama berulang.

Cukuplah apa yang dirasai dan dialami sebelum ini. Tidak ada faedahnya untuk generasi hari ini ingin ‘merasai atau menikmati’ detik hitam itu. Tidak perlu kita ‘meruntuh’ apa yang sudah dibina sebelum ini dan kemudian cuba membinanya semula. Meruntuh memang mudah tetapi membina semula di atas runtuhan bukan sesuatu yang mudah. Mungkin yang mampu dibina atas runtuhan itu hanyalah sekadar monumen kenangan. Bagi mereka yang pernah berada di negara bergolak atau negara berhampiran seperti di Syria, Jordan, Myanmar dan Palestin sudah tentu akan menghargai apa yang sedang kita nikmati di Malaysia.

Negara akan selamat jika rakyat menghormati Perlembagaan. Jika Perlembagaan Negara diceroboh, lambat laun negara akan hancur. Eloklah kita bersikap sederhana dalam kehidupan hari ini tanpa mengorbankan prinsip-prinsip yang termaktub dalam Perlembagaan Negara.

Sempena sambutan Maal Hijrah kali ini, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memilih tema Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah yang mengambil pendekatan sederhana amalan Rasulullah SAW seperti termaktub dalam Piagam Madinah yang dipersetujui Nabi Muhammad SAW dengan masyarakat bukan Islam.

Ia menyerlahkan semangat toleransi beragama apabila orang Islam dan bukan Islam saling faham memahami, saling berkerjasama dan hidup secara harmoni. Perlembagaan Madinah mempertahankan kebebasan beragama, keadilan dan melindungi kaum minoriti untuk mengamalkan pegangan dan budaya mereka.

Menurut Jakim, Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah juga berpegang kepada prinsip akidah, iaitu keimanan dan ketakwaan kepada Allah. Ia menekankan aspek berimbang, adil dan kepelbagaian.

Konsep ini juga perlu membuktikan bahawa agama Islam berupaya menyusun dan mengatur masyarakat sehingga mewujudkan peradaban yang unggul dengan wujudnya konsep perpaduan dalam kepelbagaian seterusnya mampu mewujudkan negeri yang baik dan diampuni Allah.

Pada masa yang sama, tema itu juga bukan pula bermaksud sama rata, tetapi adalah pendekatan kasih sayang, kesejahteraan dan perpaduan yang dikongsi bersama-sama tanpa mengira bangsa dan agama. Ia juga bukanlah duduk di tengah-tengah tanpa pendirian, tetapi bertujuan mengutama dan menjaga perkara-perkara dasar dan prinsip persaudaraan berlandaskan ajaran Islam.

Tema itu juga memberikan gambaran yang tidak ekstrim dalam sesuatu hal tetapi tegas dalam hal yang berkaitan dengan prinsip, individu dan masyarakat sama pentingnya tidak boleh mengorbankan maslahah orang ramai demi kepentingan individu tetapi tidak pula maslahah orang ramai dijadikan legalisasi untuk mengorbankan kepentingan individu.

Dalam kehidupan masyarakat majmuk di Malaysia, semangat melampau berteraskan perkauman dan ideologi akan menjadi pemangkin terhadap ketidaksepaduan masyarakat dan seterusnya ketidakstabilan sosio-politik negara. Jika elemen ketaksuban masih berakar umbi dalam pemikiran dan tindakan, masyarakat tidak akan dapat mengimbangi serta menghayati seluruh intipati kehendak pemimpin negara untuk membangunkan negara. Oleh yang demikian, menjadi satu cabaran kepada kepimpinan negara untuk menyatupadukan seluruh rakyat Malaysia bagi mengekalkan kestabilan politik dan menerokai kejayaan dan keberhasilan negara.

Tema ini juga mencontohi pendekatan sederhana dan seimbang yang dipelopori oleh Nabi Muhammad SAW yang menjadikan pola kehidupan masyarakat Madinah sebagai contoh terbaik sebagai masyarakat madani. Hasil daripada sikap kesederhanaan inilah telah membuka hati ramai penduduk Arab di seluruh Semenanjung Arab memeluk Islam dan membentuk satu ummah.

Kebijaksanaan inilah yang amat diharapkan akan terus wujud dalam rakyat Malaysia yang akan menyuburkan keharmonian hidup dan melonjakkan prestasi Malaysia ke tahap yang lebih cemerlang. Diharapkan huraian Jakim berkaitan tema sambutan Maal Hijrah kali ini dapat difahami.

Sederhana dan seimbang. Jangan pula terlalu, angkuh, sombong, taksub dan bertindak melampaui batasan seolah-olah kita lebih arif dan tahu semuanya. Sempena sambutan Maal Hijrah ini, eloklah kita sama-sama berhijrah ke arah kebaikan, bukannya menuju kemungkaran dan kehancuran. Berdasarkan situasi semasa, di hadapan kita, masih banyak cabaran yang akan dihadapi.

Sama-samalah kita menjaga kepentingan dan memperkukuhkan kedudukan Islam yang dijamin oleh Perlembagaan Negara. Sejak kebelakangan ini, banyak kenyataan dan penghinaan sama ada yang dibuat di dalam atau luar negara dilihat melukai hati umat Islam.

Isu seperti penghinaan terhadap nabi, pelaksanaan hukum hudud, pluralisme, dan kebebasan beragama melibatkan orang Islam menjadi perbincangan hangat. Malangnya disebabkan politik, ada pihak umpama menegakkan benang yang basah. Pihak-pihak berkenaan sanggup mengeluarkan kenyataan berasaskan politik tanpa bersandarkan fakta.

Demi kelangsungan politik, wujud puak angguk sahaja kenyataan yang boleh mengelirukan rakyat terutama umat Islam. Mereka memberi pelbagai hujah untuk membenarkan kenyataan itu walaupun pelbagai ‘bukti’ dipaparkan. Akhirnya umat Islam akan terus celaru dan keliru sementara mereka yang bukan beragama Islam akan ‘bertepuk
tangan’ melihat kecelaruan yang dicipta oleh orang Islam sendiri. Suasana sebegini boleh menjejaskan perpaduan dan keharmonian kaum yang dibina selama ini. Akhirnya, adakah Perlembagaan Negara yang diasak sedikit demi sedikit sama ada secara langsung atau tidak langsung ini mampu dipertahankan?

Dalam hal berkaitan agama terutama akidah, ia tidak sepatutnya ada kompromi. Berpolitik ada batasnya. Selamat Tahun Baru Hijrah!

UMA121112012C001

Related posts

Leave a Comment