Sama-sama kita mendoakan laluan mudah mencari damai di bumi Palestin

GENTING Gaza dilanyak lagi. Entah kali ke berapa rejim Zionis melakukan kekejaman itu. Seingat penulis, serangan terakhir ialah selama tiga minggu bermula pada akhir tahun 2008 sehingga Januari 2009. Sebanyak 1,400 penduduk Palestin menjadi korban. Jumlah itu tidak termasuk serangan ‘main-main’ (peluru lawan batu) yang berlaku tidak tentu masa yang terpaksa dihadapi penduduk Palestin dalam kehidupan seharian mereka. Selak pernah menulis mengenai serangan 2008 di bawah tajuk Hanya ‘hukuman’ Tuhan selamatkan Palestin?

Apakah yang akan berlaku seterusnya? Sampai bila bumi Palestin akan dihujani peluru dan bom serta bermandikan darah? Sukar untuk menjawabnya kerana segala usaha sudah dilakukan sama ada oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Pertubuhan Liga Arab dan pelbagai lagi. Amerika Syarikat (AS) pula jelas menyokong kekejaman yang dilakukan oleh Israel itu. Dulu, ketika PBB meluluskan resolusi supaya dilaksanakan segera gencatan senjata di Genting Gaza, tentera Israel tidak peduli. Nampaknya suasana yang sama akan terus berlaku. Rejim Yahudi dan sekutunya sudah pekak dengan tangisan rakyat Palestin. Mereka tidak peduli desakan masyarakat antarabangsa. Mereka tidak mampu membuka mata melihat kesengsaraan penduduk Pa-lestin terutama kanak-kanak, wanita dan orang tua. Begitulah nasib umat Islam Palestin. Mungkin, nasib yang sama akan berlaku kepada umat Islam di negara lain.

Kenapa orang Islam sering menderita dan ditindas? Kenapa negara kuasa besar tidak mampu berbuat apa-apa melihat kerakusan tentera Israel terhadap orang Islam? Kenapa masyarakat Islam yang ditindas di Rohingya tidak mendapat pembelaan sewajarnya? Lebih mendukacitakan, mereka yang selama ini melaung-laungkan hak asasi manusia tidak mampu melakukan sesuatu yang lebih tegas untuk menghentikan penindasan itu.

Sikap berat sebelah kuasa besar amat jelas. Mereka sanggup bergabung untuk menghantar kapal perang, pesawat pejuang, kereta kebal, anggota tentera untuk menghapuskan seorang manusia bernama Saddam Hussein tetapi tidak berupaya mengambil tindakan yang sama terhadap kerakusan seorang pemimpin yang seolah-olah mahu melenyapkan rakyat dan bu-mi Palestin dari muka bumi ini. Mereka cepat ‘melompat’ apabila sengketa dalaman berlaku di negara-negara Islam seperti di Pakistan, Mesir, Syria dan Afghanistan.

Biar siapa pun pemimpin Israel sama ada Benjamin Netanyahu (1996-1999/2009 hing-ga sekarang), Ehud Barak (1999-2001), Ariel Sharon (2001-2006), Ehud Ol-mert (2006- 2009), semuanya sama. Sikap mereka terhadap Palestin tidak pernah berubah. Begitulah keteguhan prinsip mereka dalam perjuangan sedangkan masyarakat Islam pu-la semakin bercelaru, berpecah belah serta mudah diperolok, ditindas dan dipermainkan oleh orang lain.

Cuba selak kembali kekeja-man yang berlaku pada 16 September 1982 di Sabra dan Shatila, khemah pelarian rakyat Palestin di Lebanon digempur oleh rejim Zionis. Ketika itu Sharon sebagai Menteri Pertahanan. Akibat tindakan ganas itu yang hanya berpunca mahu menghapuskan pejuang Palestin, kira-kira 3,000 maut. Hasil ‘kegemilangan’ itu meletakkan beliau sebagai Perdana Menteri Israel. Apakah tindakan ke atas Sharon? Sharon masih hidup walaupun menerima ‘hukuman’ menderita strok sehingga hilang jawatan Perdana Menteri. Sharon pernah berkata: “Saya berharap akan dapat menghalau keluar semua orang Palestin dari Gaza dan Tebing Barat ke Jordan’’ (New York Times 17 Mei 1982). Impian ini diteruskan. walaupun dia kini ‘menderita’. Tetapi berakhirkah penderitaan rakyat Palestin? Apakah masih ada harapan bagi rakyat Palestin hidup bebas di negara mereka?

Kata-kata Sharon itu mengingatkan kita bagaimana Nabi Muhammad SAW dihalau keluar dari Mekah dan diancam bunuh oleh puak kafir. Nampaknya penderitaan umat Islam tidak akan ada kesudahannya. Sejak dulu sehingga sekarang. Kenapa?

Jika rejim Yahudi sanggup membelakangkan desakan PBB, apakah lagi harapan yang ada bagi penduduk Palestin?

Masyarakat Islam dunia hanya mampu berdoa dan menunaikan solat hajat supaya penduduk Palestin dilindungi. Tidak pasti pula sama ada mereka turut mendoakan agar diturunkan bala atau dimusnah dan jahanamkan ideologi Israel seperti Allah melaknat Namrud, Abu Lahab serta seperti Allah menenggelamkan Firaun dan mengizinkan bumi menelan Qarun. Umat Islam dan bukan Islam juga hanya mampu mengutuk dan menganjurkan demonstrasi bantahan. Seperti biasa juga, timbul idea mahu memboikot produk keluaran AS dan Israel. Begitulah yang berlaku setiap kali Palestin diserang dan dilanyak Yahudi.

Seperti yang pernah diselak sebelum ini, adakah akhirnya kita mengharapkan agar peristiwa kemusnahan tentera bergajah yang mahu menghancurkan Kaabah beru-lang kembali? Ketika itu Allah mengirimkan sekumpulan burung yang menjatuhkan batu dari tanah yang terbakar ke atas tentera bergajah pimpinan Abrahah. Maknanya dalam keadaan seperti di Gaza sekarang, hanya kuasa Tuhan yang dapat menghapuskan kekejaman rejim Zionis itu.

Namun kita tidak boleh berputus asa. Ikhtiar dan usaha perlu dilakukan sekalipun sekadar menadah tangan berdoa.

Pada masa yang sama Hamas dan Fatah perlu menunjukkan kesepakatan. Siapa yang akan menghormati mereka jika dalam kalangan kaum sebangsa dan seagama pun sanggup berpecah belah? Kuasa dan politik menyebabkan Hamas dan Fatah tidak mampu menunjukkan kepada dunia bahawa mereka benar-benar bersatu demi Palestin. Ini satu lagi pengajaran bahawa apabila kita tidak mempunyai kekuatan yang jitu, orang luar akan mudah mempermain, memperdayakan dan memperlekehkan kita.

Akhirnya, marilah kita terus berdoa supaya Allah memberikan hidayah dan petunjuk.

‘‘Ya Allah rapatkan saf, barisan kami saudara seagama, jadikanlah kami bersaudara, padamkan segala perbezaan, lindungilah seluruh umat Islam daripada sebarang bala bencana, lindungi kami daripada cubaan memesongkan akidah. Ya Allah hapuskan kezaliman yang dilakukan Israel terhadap rakyat Palestin. Permudahkan laluan perdamaian di Palestin. Amin,’’

UMA191112010C001

Related posts

Leave a Comment