Kita raya dulu selepas itu pilihan raya

DALAM satu sidang akhbar di Mekah pada bulan Ramadan lalu, Perdana Menteri Najib Tun Razak ditanya mengenai Pilihan Raya Umum Ke-13. Persoalan itu dilontarkan kalau-kalau Perdana Menteri sudah mendapat ilham mengenai PRU itu ketika berada di Tanah Suci Mekah untuk menghadiri Sidang Kemuncak Luar Biasa Ke-4 Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC). Najib hanya ketawa mendengar soalan itu tetapi menjawab: ‘‘Kita raya dulu (Hari Raya Aidilfitri) kemudian baru pilihan raya’’. Memang betullah jawapan Perdana Menteri itu kerana menjelang tarikh pembubaran itu sudah tidak ada lagi hari raya kecuali hari raya haji atau Hari Raya Aiiladha. Adakah selepas hari raya haji?

Seorang sahabat di Pulau Pinang pula memberitahu, dalam satu khutbah hari raya baru-baru ini, seorang khatib menyebut tahun ini, akan ada tiga raya iaitu Hari RAYA Aidilfitri, Hari RAYA Aidiladha dan Pilihan RAYA Umum Ke-13. Tidak pasti pula sejauh mana kebenaran bahawa khatib turut membangkitkan isu PRU dalam khutbah. Adakah PRU13 akan ‘datang’ juga tahun ini?

Berdasarkan ucapan-ucapan yang dibuat oleh Najib sejak kebelakangan ini, PRU semakin hampir, sama hampir dengan tempoh pembubaran wajib Dewan Rakyat dan juga Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan berlaku menjelang pertengahan tahun depan. Tetapi soalnya bila? Adakah pada bulan Oktober selepas sambutan Hari Malaysia (16 September), atau selepas pembentangan Bajet 2013 (28 September) atau pada bulan November selepas Hari Raya Aidiladha yang dijangka jatuh pada 26 Oktober. Terserahlah kepada Perdana Menteri untuk menentukan bilakah masa yang sesuai untuk membubarkan Dewan Rakyat dan kemudiannya menyerahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menentukan tarikh penamaan calon dan hari mengundi.

Kepada 28,000 bakal haji tidak perlulah risau dengan tarikh pilihan raya ini. Jika seruan sudah sampai terima sahaja. Seronok dapat menjadi tetamu Allah ini. Biarlah orang yang benar-benar ‘hidup’ dengan politik meneruskan agenda mereka di sini dalam menghadapi PRU. Dan apabila berada di sana nanti, doakan yang baik-baik untuk Malaysia. Jangan pula ada jemaah yang terlalu kuat berpolitik menyesal jika PRU datang selepas musim haji. PRU juga boleh diadakan pada tahun depan.

Tetapi menjelang tempoh itu sudah tentulah, parti-parti politik sama ada di pihak kerajaan atau pembangkang akan terus mengadakan kempen tidak rasmi untuk men-cari undi. Jika pakatan DAP-Pas-PKR (3P) meneruskan kempen ‘Menuju Putrajaya’, Barisan Nasional (BN) pula akan berusaha untuk menahan kemaraan pakatan itu melalui ‘sekatan politik’. Semua gerak kerja politik ini menyebabkan ramai yang ‘keletihan’. Sudah kedengaran suara-suara mengenai mereka sudah letih bekerja dan tidak sabar lagi menunggu PRU. Ada juga yang memberitahu ‘poket’ mereka dah mula kering. Mereka mahu penantian itu ditamat-kan segera dengan mengadakan PRU.

Dengan tinggal tidak sampai enam bulan kepada pembubaran sama ada Dewan Rakyat atau DUN, setiap parti politik pas-tinya akan terus melipat gandakan usaha untuk memastikan kemenangan besar pada PRU akan datang. Maka tidak ada istilah letih dalam perjuangan seperti kata Najib kelmarin. Mereka tidak boleh berundur walaupun seinci. Dan ketika bahang PRU semakin dirasai, banyak isu ditampilkan untuk memikat hati pengundi. Isu yang tidak sepatutnya dijadikan isu menjadi isu besar.

Tema Hari Kemerdekaan kali ini iaitu Janji Ditepati juga menimbulkan keresahan parti pembangkang. Tema itu sesuatu yang amat ‘menakutkan’ pakatan 3P kerana me-reka sedar tidak banyak janji pada PRU lalu yang mampu ditepati. Jika ada pun sekadar ‘melepaskan batuk di tangga’ atau hanya akhir-akhir ini sahaja dilaksanakan, yang melibatkan kelompok tertentu.

Dalam erti kata lain melaksanakan janji sekadar ada supaya tidak dijadikan isu oleh pihak lawan. Akhirnya janji yang termaktub dalam manifesto PRU lalu bukanlah janji yang harus ditepati, ia bukan perjanjian yang mesti ditunaikan. Manifesto bukan lagi satu perjanjian! Manifesto ibarat karangan indah. Lambat laun rakyat akan sedar dan mungkin lahirlah pula slogan seperti Janji Dimungkiri, Rakyat Dibohongi.

Dalam menutup ‘kesilapan dan keresa-han’ ini, ada pula pihak yang gagal memperlekehkan kerajaan menggunakan sen-timen membenci pemimpin. Mereka ini akan berusaha mencari jalan untuk menjatuhkan maruah pemimpin. Contohnya se-perti yang jelas dapat dilihat melalui tindakan biadab dan tidak bertamadun seperti yang berlaku pada malam menyambut ulang tahun kemerdekaan baru-baru ini.

Apakah dengan memijak gambar pemim-pin, mereka ini mendapat kepuasan yang sebenarnya? Entah apa yang merasuk pemikiran orang seperti ini. Apakah perasaan mereka jika gambar mereka juga diperlakukan sedemikian rupa oleh orang lain?

Bayangkan sejenak apa reaksi mereka jika gambar ibu bapa atau keluarga terdekat mereka juga dilakukan sedemikian? Semoga tindakan seumpama ini tidak akan menjadi budaya baru rakyat Malaysia selepas 55 tahun menikmati kemerdekaan. Mungkin-kah satu masa nanti, Jalur Gemilang juga akan dipijak-pijak oleh generasi baru yang tidak tahu apa-apa atau buat-buat tidak tahu mengenai perjuangan generasi terdahulu menuntut kemerdekaan?. Ini semua bukanlah sesuatu yang mustahil kerana sebelum ini sudah ada warganegara Malaysia termasuk yang bertaraf pemimpin dan wakil rakyat yang sanggup memperlekehkan Jalur Gemilang dan lagu Negaraku. Mereka terlalu memusuhi simbol-simbol yang ada di negara ini. Entah bagaimana generasi sebegini dilahirkan.

Mereka ini sebenarnya sudah terlalu selesa dengan kehidupan dalam sebuah ne-gara seperti Malaysia. Kehidupan mereka seolah-olah tidak tercabar seperti apa yang berlaku di negara lain. Mereka ini ingin merasai ‘nikmat’ bagaimana demonstrasi dapat menjatuhkan pemimpin dan negara.

Keadaan ini tentunya sedikit sebanyak dipengaruhi juga oleh politik yang cuba mempengaruhi jiwa anak-anak muda atau generasi lama ini supaya ‘memberontak’. Mereka juga amat resah apabila ada pemimpin yang berlainan fahaman politik boleh duduk bersama. Contohnya seperti yang berlaku di Mekah pada hari-hari terakhir Ramadan lalu. Apabila melihat bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa bersama Perdana Menteri, riuh rendah jadinya. Banyak pandangan negatif.

Pada hal Nasharudin menunjukkan rasa hormat kepada pemimpin dan tujuannya bersama Perdana Menteri juga bukanlah kerana politik, sebaliknya untuk ummah dan negara. Apakah sesuatu yang baik harus ditentang kerana fahaman politik yang berbeza? Malang sungguh mereka yang berfikiran sedemikian. Mungkin, pandangan mereka terhadap Nasharudin akan berubah jika di sebelahnya adalah mereka yang ‘memusuhi’ seorang Perdana Menteri.

UMA030912010C001

Related posts

Leave a Comment