SEPANG 16 April – Selepas berdepan cabaran perang di Timur Tengah pada penghujung musim umrah 1447, Andalusia Travel & Tours (Andalusia) berjaya menamatkan pakej kali ini dengan menyambut kepulangan 279 jemaah umrah terakhir musim ini.
Tiada lagi penerbangan umrah untuk musim 1447 bagi memberi laluan kepada jemaah seluruh dunia yang akan menunaikan ibadah haji bermula tidak lama lagi.
Pengarah dan Penasihat Undang-undang Andalusia, Ida Riswana Idris yang menyambut kepulangan jemaah terakhir di KLIA pagi ini berkata, musim umrah 1448 yang akan datang dijadualkan pada awal Jun selepas selesai ibadah haji.
“Syukur Alhamdulillah Andalusia berjaya menguruskan seramai 56,585 orang jemaah merangkumi pelbagai jenis penerbangan, sekali gus mencatatkan peningkatan sebanyak 6,585 orang berbanding musim 1446H yang lalu,” katanya.
Beliau juga menjelaskan dalam tempoh krisis baru-baru ini, Andalusia tetap meneruskan pakej dengan selamat walaupun terdapat sedikit perubahan penerbangan pada saat akhir demi keselamatan dan keselesaan jemaah.
Dalam tempoh krisis itu Andalusia memperuntukkan RM1 juta bagi menghadapi sebarang kemungkinan bagi memastikan kebajikan dan keselamatan jemaah umrahnya terjamin susulan perubahan jadual penerbangan.
Perbelanjaan tambahan itu digunakan untuk membeli tiket baharu termasuk melalui Saudi Airlines bagi menggantikan penerbangan yang dibatalkan.
Katanya, dalam tempoh krisis itu, lebih 5,000 jemaah Andalusia terlibat dengan pakej yang ditempah lebih awal dan tanpa gagal, semua jemaah dapat melakukan umrah seperti biasa.
Menurut Ida Riswana, pada musim ini juga, Andalusia telah melaksanakan inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dengan membawa golongan asnaf menunaikan umrah dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Seramai 45 orang termasuk pengiring JKM berpeluang menunaikan umrah baru-baru ini sementara 97 orang peserta dalam kalangan anak muda Negeri Kelantan juga diberi peluang menunaikan umrah secara percuma.
Katanya , walaupun berdepan pelbagai cabaran dan halangan sepanjang operasi, Andalusia sentiasa memainkan peranan proaktif dalam membantu jemaah termasuk dalam situasi jemaah terkandas bagi memastikan kebajikan mereka sentiasa terpelihara.
“Segala pahit dan manis pengalaman sepanjang musim ini dilalui dengan penuh komitmen, di mana setiap jemaah disantuni dengan sebaiknya sebagai keutamaan utama perkhidmatan kami sama ada di tanah air, Makkah atau Madinah,” katanya.
Andalusia yang setakat ini menerima tempahan kira-kira 17,000 jemaah umrah musim depan berharap lebih ramai akan memberi sokongan pada musim-musim akan datang dalam usaha berterusan syarikat untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada para tetamu Allah.
“Pilihlah agensi yang dipercayai dan pengurusan yang cemerlang,” katanya.
Nnnn
