Menanti ‘episod pkr’ dalam PKR

PAKAT keluar ramai-ramai atau ringkasnya pkr. Begitulah yang terjadi dalam sehari dua ini apabila ramai ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) meninggalkan parti itu. Terkini, tentulah di cabang Ipoh Barat yang lumpuh atau terbubar apabila 19 daripada 25 ahli jawatankuasanya meletak jawatan. Nampaknya PKR seperti kata Timbalan Presiden UMNO, Muhyiddin Yassin sebagai parti kian runtuh. Macam-macam alasan dan kata-kata yang menjelikkan dilemparkan oleh mereka yang meninggalkan PKR ini. Selaklah kembali sidang akhbar yang diadakan oleh wakil-wakil rakyat berkenaan. Ini berbeza dengan DAP yang sudah pun menambah kerusi melalui pilihan raya kecil (PRK) Sibu semalam. Roket DAP meluncur laju di Sibu. Apakah makna kemenangan DAP ini? Di mana silapnya BN? Kebanyakan orang politik sudah tahu ‘membacanya’ selepas melalui beberapa PRK. Berbalik kepada wakil rakyat PKR keluar parti, sebelum ini pemimpin-pemimpin PKR menyifatkan wakil rakyat yang keluar parti disifatkan ‘kesilapan’ memilih mereka sebagai pemimpin atau calon pilihan raya. Maka mereka ‘mengalu-ngalukan dan menyambut baik’ serta mencari pelbagai alasan bagi ‘menghalalkan’ tindakan pemimpin yang keluar parti itu. Ini juga merupakan langkah pembersihan parti yang akhirnya akan mempunyai ahli-ahli yang benar-benar seia sekata dengan pemimpin PKR. Tetapi apa pula alasan yang akan diberikan oleh pemimpin terhadap kumpulan di peringkat bawah yang meninggalkan parti seperti di Ipoh Barat? Apakah alasan bagi menghalalkan tindakan PKR itu? Adakah mereka tersalah pilih parti?

Mereka inilah yang semasa pilihan raya umum (PRU) lalu bekerja keras untuk memastikan kemenangan calon-calon 3P PKR, Pas, DAP. Sedikit sebanyak jasa dan sumbangan mereka pada PRU lalu tetap ada. Persoalannya sekarang apakah episod pkr berulang lagi selepas ini? Beberapa perkembangan terkini menarik untuk dinantikan kesudahannya. Kata Zulkifli Noordin, PKR tidak mampu bertahan lama. Beliau memberi tempoh beberapa bulan lagi. Tidak dinafikan tsunami politik yang melanda PRU lalu antara lain disebabkan mereka yang menyokong Barisan Nasional (BN) berpaling tadah memberi sokongan kepada pakatan 3P. Ada yang berkata, jika anda menyokong BN tetapi pada PRU lalu mengundi PKR, anda boleh dianggap pengkhianat. Agaknya kerana tidak mahu dilabelkan pengkhianat, mereka meninggalkan PKR. Sama ada kembali menyokong BN atau sebaliknya, itu soal lain. Apa yang penting, mereka tidak mahu dilabelkan sebagai ‘pengkhianat’ selama-lamanya.

Berbalik kepada isu pkr yang berlaku, tindakan itu menyebabkan jumlah wakil PKR di Parlimen terus berkurangan berbanding wakil Bebas yang terus meningkat. Jika sebelum ini PKR begitu ghairah menghitung jumlah wakil rakyat BN yang akan menyertai pakatan itu bagi membentuk kerajaan pada 16 September 2008 tetapi kali ini PKR pula menyaksikan satu persatu wakil rakyatnya angkat kaki. Tetapi jumlah itu masih boleh dihitung dengan jari. Keadaan ini juga menyebabkan DAP mendahului dengan 29 kerusi berbanding PKR 25 dan Pas 23. Sebelum ini PKR mendahului dengan 31 kerusi. PKR selain kehilangan lima wakil rakyatnya empat keluar parti dan seorang dipecat juga hilang satu kerusi melalui pilihan raya kecil (PRK) di Hulu Selangor. Seperti pernah diselak dalam ruangan ini pada 22 Februari lalu, tidak pasti berapa ramai lagi wakil rakyat yang tergolong dalam kumpulan yang dianggap sebagai tersalah pilih calon. Di samping pemimpin tersilap pilih calon, ada juga kumpulan calon yang tersilap pilih parti untuk bertanding sama seperti pengundi yang sokong BN tetapi undi PKR. Mungkinkah ada calon yang bertanding hanya untuk ‘mengkhianati’ BN?

Berdasarkan kedudukan di Parlimen sekarang, maka calon paling layak menjadi ketua pembangkang sudah tentulah Lim Guan Eng. Sebelum ini pun, tradisinya parti yang mendahului akan menjadi ketua seperti yang pernah disandang Setiausaha Agung DAP, Lim Kit Siang. Pas juga pernah mengetuai pembangkang melalui Allahyarham Fadzil Noor dan Abdul Hadi Awang.

Itu di Dewan Rakyat. Turut menarik perhatian ialah di Dewan Undangan Negeri (DUN). Selepas kerajaan Perak yang diterajui pakatan 3P tumbang gara-gara dua wakil rakyat PKR dan seorang DAP meninggalkan parti untuk menjadi wakil Bebas, perhatian kini terarah kepada jirannya Kedah. Di negeri Jelapang Padi itu, Menteri Besar, Azizan Razak berulang kali menyatakan kesediaannya membubarkan DUN jika keadaan memaksanya berbuat demikian.

Ini berikutan ramai yang sudah mula bersembang mengenai kemungkinan ada lagi wakil rakyat pembangkang akan berhijrah sebagai wakil Bebas. Jika ini berlaku, maka episod Perak akan berulang di Kedah.

Kelmarin, Ahli Parlimen Jerlun, Mukhriz Mahathir berkata, pembangkang sengaja mewujudkan suasana untuk mencetuskan pilihan raya negeri.

ADUN Belantek, Tajudin Abdullah pula memberitahu, ada juga sembang sumbang yang mendakwa BN memainkan peranan untuk menumbangkan kerajaan Pas di Kedah. Tetapi bagi Tajudin, hakikatnya, apa yang berlaku adalah rasa kecewa wakil rakyat pakatan 3P sendiri.

Pas mungkin terasa bahang penghijrahan wakil PKR ini yang kini hanya tinggal tiga. Dalam erti kata lain, Pas mungkin meragui kesetiaan saki baki wakil rakyat PKR yang ada. Namun Pas jangan pula lupa, jika perasaan kecewa tidak dapat dibendung, wakil Pas juga boleh meninggalkan parti itu walaupun setakat ini rekod menunjukkan wakil rakyat Pas tidak mudah goyang.

Mungkin ini bezanya antara wakil rakyat Pas dengan PKR. Di samping kesetiaan kepada parti, mereka yang dipilih sebagai calon bukan satu kesilapan. Maksudnya di pihak PKR, ada calon wakil rakyat yang dicalonkan secara tangkap muat atau bidan terjun untuk memastikan kerusi itu diisi oleh calon pembangkang. Akhirnya apabila menang, mereka tidak berupaya menjalankan tugas. Mungkin tidak diasuh sebagai wakil rakyat atau ahli politik yang sanggup melakukan apa sahaja untuk rakyat. Kata Tajudin, kalau dah jadi wakil rakyat, pintu rumah hendaklah senitasa ‘terbuka’, kerap menemui rakyat dan menyelami masalah rakyat. Soal wang ringgit juga tidak perlu berkira. Ada ketikanya semua yang ada dalam poket perlu dikosongkan untuk rakyat. Maka bukan mudah untuk menjadi wakil rakyat!

UMA170510008C001-min

 

Related posts

Leave a Comment