Selesai masalah tanpa kecoh, kecederaan

KUANTAN 30 Mac –  Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Ahmad Shah menitahkan sebarang permasalahan melibatkan peniaga dan pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu diselesaikan dengan cara yang paling wajar, tidak melibatkan kekecohan apatah lagi kecederaan.

Titah Baginda, apa jua bentuk urusniaga yang dijalankan perlu mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang antaranya peniaga perlu memohon lesen atau permit perniagaan manakala PBT pula perlu menyediakan tempat yang khusus dan selamat untuk semua pihak.

Justeru baginda melalui Facebook Kesultanan Pahang menasihatkan para peniaga dan PBT di negeri ini bertanggungjawab menjalankan peranan masing-masing.

Baginda bertitah, dalam keghairahan untuk menyambut lebaran, sudah pasti para peniaga melipatgandakan usaha untuk sumber pendapatan dengan menawarkan barang niaga yang menarik perhatian pembeli.

“Apa jua bentuk urusniaga yang dijalankan perlu mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah disediakan.

“Apabila tiba pada suatu isu atau permasalahan, ia perlu diselesaikan dengan cara yang paling wajar serta tidak melibatkan sebarang kekecohan apatah lagi kecederaan,” titah Baginda.

Dalam pada itu Baginda turut menasihatkan agar peniaga di Pahang  mempunyai lesen dan mematuhi undang-undang yang ditetapkan manakala penguat kuasa pula perlu berhemah dalam segala tindakan yang diambil dengan penuh budi-bicara tanpa melibatkan sebarang kerosakan mahupun kecederaan.

Sementara itu, Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah meluangkan masa menziarahi peniaga belon yang terlibat dalam insiden dengan penguatkuasa DBKL pada Jumaat lalu.

Muhammad Zaimuddin Azlan dari Jerantut yang lebih dikenali sebagai ‘Abang Belon’, 28, kini dirawat di Hospital Serdang akibat kecederaan selepas bergelut dengan penguatkuasa yang cuba merampas barang jualannya.

Tengku Arif Bendahara yang tiba pada pukul 12.30 tengah hari bertanya keadaan kesihatan semasa dan menyampaikan kurniaan peribadi Sultan Pahang.

Nnn

Related posts

Leave a Comment