KUALA LUMPUR 30 Mac – Umat Islam di Malaysia akan menyambut Hari Raya Aidilfitri esok, demikian diumumkan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Syed Danial Syed Ahmad, malam ini.
“Bagi menyempurnakan titah perintah Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, setelah diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, maka adalah dengan ini saya mengisytiharkan bahawa tarikh Hari Raya Puasa bagi negeri-negeri seluruh Malaysia telah ditetapkan pada hari Isnin, 31 Mac 2025,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi pengumuman rasmi disiarkan di saluran televisyen dan radio tempatan.
Sementara itu, Mufti Singapura, Dr Nazirudin Mohd Nasir mengumumkan umat Islam di negara itu akan menyambut Aidilfitri esok menerusi satu klip video yang dimuat naik di laman sosial Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) hari ini.
“Mengikut kiraan hisab, berdasarkan kiraan imkanur rukyah yang dipersetujui oleh negara-negara anggota MABIMS (Menteri-Menteri Agama Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia dan Singapura) anak bulan Syawal berada di atas ufuk Singapura selama 48 minit setelah matahari terbenam petang tadi.
“Oleh yang demikian, sukacita saya mengisytiharkan bahawa awal bulan Syawal pada tahun 1446H jatuh pada esok, hari Isnin bersamaan 31 Mac 2025,” katanya.
Dr Nazirudin turut berharap umat Islam dianugerahkan keberkatan dan kemenangan hasil dari segala amal ibadah dan kebajikan yang telah diusahakan mereka sepanjang Ramadan lalu.
Nnnn