PUTRAJAYA 16 Sept. – Kandungan penuh draf Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang yang sebelum ini ‘rahsia’ didedahkan kepada umum selepas ditolak oleh Perikatan Nasional (PN).
Timbalan Perdana Menteri, Fadillah Yusof dalam satu kenyataan berkata, butiran kandungan draf MoU itu didedahkan memandangkan pihak pembangkang lebih gemar membuat kenyataan melalui media.
Tindakan itu juga bagi membuktikan ketelusan Kerajaan MADANI dan mahu mewujudkan suasana aman dan harmoni supaya semua Ahli Parlimen lebih fokus kepada usaha pemulihan ekonomi, selain dapat memainkan peranan konstruktif sebagai semak dan imbang.
Tegas beliau, ini penting supaya semua pihak dapat menumpukan sepenuh tenaga dalam memulihkan ekonomi negara dan mengukuhkan perpaduan di kalangan rakyat, demi kesejahteraan semua dan kemakmuran Malaysia.
“Dengan pendedahan MoU ini, rakyat sendiri boleh menilai bahawa kesemua dakwaan Ketua Pembangkang mengenai draf terbabit adalah tidak berasas sama sekali,” katanya.
Terdahulu, Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin mengumumkan keputusan menolak draf MoU itu dibuat atas empat sebab fundamental.
Beliau mendakwa, cadangan MoU itu bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan nilai budaya, moral serta agama, selain boleh disalah tafsir dan salah guna kuasa serta mengongkong kebebasan.
Fadillah dalam kenyataan itu menghuraikan enam perkara mengenai draf MoU iaitu tempoh berkuat kuasa, obligasi PN, obligasi Kerajaan Persekutuan, ketelusan dan tiada kerahsiaan, pemakaian undang-undang dan pembatalan memorandum.
Katanya, tempoh berkuat kuasa adalah dari tarikh MoU dan terpakai sehingga pembubaran Majlis Parlimen Ke-15 atau pada 19 Disember 2027 atau mana yang terdahulu.
Obligasi PN pula ialah menyentuh mengenai peranan dan fungsi Ahli Parlimen Pembangkang sebagai komponen penting dan akujanji sebagai Ahli Parlimen pembangkang berwibawa, perlu bertindak sebagai komponen semak dan imbang yang bertanggungjawab dan membina.
Ia juga menyentuh pematuhan kepada Perlembagaan Persekutuan dan sistem demokrasi berparlimen.
Obligasi Kerajaan Persekutuan pula, antara lain mengakui bahawa Ahli Parlimen pembangkang mempunyai peranan yang besar sebagai pembangkang dengan menunjukkan kesetiaan kepada negara, Perlembagaan Persekutuan dan institusi diraja, serta bertindak untuk semak dan imbang secara sah dan bertanggungjawab.
Berhubung ketelusan dan tiada kerahsiaan, memorandum berkenaan tidak tertakluk kepada mana-mana klausa kerahsiaan.
“Bagi pemakaian undang-undang, MoU ini hendaklah dikawal dan ditafsirkan mengikut undang-undang Malaysia manakala aspek pembatalan memorandum pula ia secara automatiknya akan terbatal dan pihak yang lagi satu tidak mempunyai sebarang obligasi lanjut yang perlu dilaksanakan menurut MoU ini. Ini melibatkan kedua-dua pihak kerajaan dan pembangkang,” katanya.
Untuk rekod pada awal bulan ini, Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mendedahkan, terdapat tujuh syarat yang didakwa dikenakan Kerajaan Perpaduan yang perlu dipenuhi Ahli Parlimen pembangkang bagi membolehkan mereka mendapat peruntukan seperti dituntut.
Antara yang menjadi syarat adalah pengisytiharan harta, sokongan kepada kerajaan hingga tamat penggal Parlimen Ke-15 dan perkara berkaitan bangsa, agama dan Raja-Raja (3R) yang didakwa beliau ada antaranya pelik dan tiada kena-mengena dengan peruntukan yang dituntut.
Nnnn
