KUALA LUMPUR 16 Sept. – Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) semalam tidak membuat sebarang keputusan berhubung penangguhan pemilihan PKR selepas Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh, berkata walaupun terdapat perbincangan serta pandangan yang dilontarkan dalam mesyuarat itu mengenai perkara berkenaan, namun ia hanya perbincangan dan tiada keputusan tuntas yang dicapai.
“Mesyuarat berpendapat perlu lebih banyak libat urus diadakan di semua peringkat kepimpinan parti sebelum satu-satu keputusan dibuat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Fuziah yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup berkata demikian bagi merujuk kepada artikel yang disiarkan Malaysiakini bertajuk “PKR tangguh pemilihan parti selepas PRU16 – Sumber,”.
Menurut Fuziah, beliau sudah dihubungi oleh portal berkenaan semalam dan menafikan bahawa keputusan sedemikian dibuat.
Semalam, Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad dalam kenyataan berkata, Fuziah dilantik sebagai Setiausaha Agung PKR baharu berkuat kuasa serta-merta bagi menggantikan Saifuddin Nasution Ismail yang melepaskan jawatan itu untuk menumpukan usaha sebagai Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), anggota Biro Politik PKR dan Ahli Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan.
