Dr Maszlee juga bidas Guan Eng, pertahan Fadhlina

SEPANG 27 Julai – Kenyataan Lim Guan Eng yang menempelak dan memperlekeh Menteri Pendidikan, Fadlina Siddik berhubung isu promosi syarikat arak di dalam acara melibatkan sekolah terus mendapat perhatian ramai.

Terkini, bekas Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik dalam kenyataannya amat kesal dengan kenyataan Guan Eng dan mempertahankan Fadhlina.

“Apa yang dilakukan oleh Menteri Pendidikan selari dengan keputusan Kabinet, falsafah pendidikan kebangsaan, pekeliling KPM sedia ada dan semangat Madani kerajaan, iaitu mempromosikan gaya hidup sihat dalam pendidikan,” katanya.

Guan Eng sebelum itu mengingatkan Fadhlina bahawa kenyataannya berkait kutipan dana untuk sekolah vernakular agak keras, susulan kontroversi mengenai penglibatan syarikat minuman keras.

Kata Guan Eng, Fadhlina sepatutnya menjadi menteri pendidikan untuk Kerajaan Perpaduan dan rakyat, bukannya ‘menteri pendidikan Pas’.

Dr Maszlee berkata, membenarkan syarikat arak dipromosikan secara besar-besaran di dalam acara melibatkan sekolah adalah tindakan membuka kotak Pandora untuk membenarkan industri tidak sihat lain dipromosikan seperti industri tembakau, industri Vape, industri perjudian dan hiburan kelab malam.

“Guan Eng tidak perlu melihat isu promosi arak di dalam acara melibatkan sekolah dari sudut politik, agama mahupun perkauman. Ianya berkaitan isu kesihatan, isu kesejahteraan hidup dan juga sivik,” katanya.

Dr Maszlee dalam pada itu, berkata penglibatan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Raj Munni Sabu @ Aiman Atirah dalam acara mempromosikan syarikat arak di dalam acara sekolah baru-baru ini, adalah insiden yang memalukan.

Katanya, tindakan itu menjatuhkan imej parti Amanah yang beliau wakili dan juga rakyat parlimen Sepang yang telah memilih beliau.

“Islam rahmah yang dibawa oleh parti Amanah tidak pernah sekali-kali bermaksud menghalalkan arak dalam acara sekolah.

“Jika beliau mempunyai maruah dan integriti, beliau meletakkan jawatan secara sukarela sebagai ahli parlimen secara terhormat dan meletakkan jawatan sebagai Ketua Wanita Amanah. Ia akan menjadi pengajaran kepada MP Amanah yang lain agar lebih teliti, berhati-hati dan menjunjung prinsip Rahmah yang sebenar,” katanya.

Terdahulu, Ketua Pemuda UMNO , Dr Akmal Saleh turut menyelar Guan Eng dan mengingatkan Ahli Parlimen Bagan itu bahawa dasar berhubung penyaluran sumbangan sekolah mengambil kira sensitiviti masyarakat majmuk.

“Saya nak ingatkan Lim Guan Eng dan DAP yang negara ini agama Islam adalah agama Persekutuan dan majoriti penduduk berbangsa Melayu dan beragama Islam.

Fadhlina bercakap atas kapasiti menteri yang menjaga undang-undang ditetapkan dan sebagai menteri Melayu-Islam.

“Dasar yang diwujudkan adalah untuk menjaga sensitiviti agama dan bangsa di negara ini… nasihat saya kepada kamu, tolong jangan kurang ajar,” katanya di Facebook.

Sementara Timbalan Presiden Pas Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, DAP sememangnya sentiasa menunjukkan bahawa mereka adalah abang besar dalam Pakatan Harapan (PH).

“Tidak mengejutkan apabila Guan Eng, mengeluarkan kenyataan berupa amaran agar Menteri Pendidikan, tidak berpendirian seiring dengan Pas dan Pemuda UMNO dalam isu kutipan dana pendidikan Cina dengan mengatakan bahawa beliau bukan “Menteri Pendidikan Pas.”

Segala kenyataan dan dasar yang ditetapkan oleh DAP seolah menjadi dasar yang harus diikuti oleh Kerajaan PH-BN,” katanya dalam kenyataan.

Tuan Ibrahim bertanya, adakah Guan Eng ingin mengajar Menteri Pendidikan bahawa mempromosikan arak di pekarangan sekolah itu adalah baik buat murid walaupun kepada murid yang bukan Islam?

“Adakah Guan Eng mahu anak-anak ini dinormalisasikan dengan arak diperkarangan sekolah? Sepatutnya Guan Eng menyokong Menteri Pendidikan yang cuba menjauhkan arak dalam kalangan pelajar sekolah.

Guan Eng tidak perlu mengajar Menteri Pendidikan cara bekerja, sedangkan ketika beliau menjadi Menteri pun gagal menguruskan ekonomi negara dengan baik,” katanya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment