GAZA – Serangan Israel masih dilaporkan berlaku secara berkala ketika penderitaan penduduk di Semenanjung Gaza terus berlarutan walaupun satu gencatan senjata yang dimediasi Amerika Syarikat (AS) dicapai pada Oktober 2025.
Pegawai kesihatan di Gaza memaklumkan bahawa lebih 790 rakyat Palestin terbunuh sejak perjanjian itu dimeterai, termasuk kira-kira 225 kanak-kanak.
Israel pula menegaskan bahawa penarikan tenteranya daripada kawasan yang kini dikuasai di Gaza, kepulangan ratusan ribu penduduk yang dipindahkan, penubuhan pihak berkuasa politik baharu serta usaha pembinaan semula hanya akan dilaksanakan sekiranya Hamas melucutkan senjata.
Ini menyebabkan sebahagian besar daripada lebih dua juta penduduk Gaza terus hidup dalam serba kekurangan, sama ada di kem-kem khemah yang luas atau di runtuhan rumah yang telah musnah.
Sebuah jawatankuasa teknokrat Palestin telah ditubuhkan bagi mentadbir Gaza secara sementara sebagai langkah peralihan.
Bagaimanapun , Israel dilaporkan masih belum membenarkan ahli jawatankuasa itu memasuki wilayah berkenaan melalui Mesir, sekali gus mengekang usaha memulihkan pentadbiran awam dan menangani krisis kemanusiaan.
Berikutan itu tiada kepastian masa depan penduduk Gaza dengan sekatan yang masih berkuat kuasa serta ketiadaan kemajuan politik yang ketara.
Kehidupan seharian penduduk kekal terhimpit, sementara harapan untuk pemulihan dan kestabilan jangka panjang masih belum menampakkan sebarang tanda.
