Gua Niah Tapak Warisan Dunia UNESCO

PUTRAJAYA 27 Julai – Kompleks Gua Taman Negara Niah di Sarawak diiktiraf sebagai Tapak Warisan Arkeologi Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Menurut Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) pengiktirafan itu diumumkan pada 7 malam waktu tempatan ketika sesi Mesyuarat Jawatankuasa Warisan Dunia ke-46 di New Delhi, India yang bermula 21 Julai lalu dan dijadual berakhir pada 31 Julai.

Dalam satu kenyataan, MOTAC berkata, pengiktirafan berprestij berkenaan telah diputuskan oleh 21 ahli Negara Anggota Jawatankuasa Warisan Dunia yang dipengerusikan oleh wakil dari India.

Pencalonan Tapak Warisan Arkeologi Kompleks Gua Taman Negara Niah bermula sejak 2019 dengan dokumen Senarai Tentatif dihantar kepada UNESCO pada 22 Januari 2021 dan pada 31 Januari 2023, dokumen pencalonan dikemukakan secara serahan tangan kepada pihak Sekretariat UNESCO di Paris, Perancis.

Pengiktirafan itu menyaksikan Malaysia secara keseluruhannya berjaya menyenaraikan lima Tapak Warisan Dunia UNESCO iaitu Taman Negara Gunung Mulu dan Taman Negara Kinabalu pada 2000, Bandar Bersejarah Selat Melaka dan Georgetown (2008) serta Warisan Arkeologi Lembah Lenggong (2012).

Menurut MOTAC, penyenaraian di bawah Senarai Warisan Dunia UNESCO dikejar oleh seluruh negara kerana ia adalah pengiktirafan tertinggi di peringkat dunia bagi tapak warisan.

Selain mempromosi dan mengetengahkan tapak warisan negara di peringkat global, pengiktirafan ini turut menunjukkan komitmen Malaysia dalam melindungi tapak-tapak warisan tempatan.

“Secara tidak langsung, pengiktirafan ini juga akan meningkatkan keterlihatan Malaysia di mata dunia sekali gus akan menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan pelancong,” kata kenyataan itu.

MOTAC turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak atas sokongan dan kerjasama yang telah diberikan oleh pelbagai agensi Kerajaan Persekutuan serta Kerajaan Negeri Sarawak dalam memastikan usaha pencalonan dapat berjalan dengan lancar.

Sehingga kini, sebanyak 1,199 kawasan dari seluruh dunia telah diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia di bawah Konvensyen Perlindungan Warisan Budaya dan Semula Jadi Dunia 1972.

Malaysia kini berusaha mencalonkan beberapa lagi kawasan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO iaitu FRIM Forest Park Selangor, Taman Negeri Royal Belum dan Pusat Kawalan Kusta Negara.

Related posts

Leave a Comment