KUALA LUMPUR 27 Julai – Umat Islam sepatutnya meletakkan segala harapan serta kebergantungan kepada Allah SWT bukannya kepada bomoh kerana perbuatan itu dikhuatiri akan menjejaskan akidah.
Justeru, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata umat Islam perlu mengelak daripada mendapatkan nasihat dan meletakkan harapan kepada bomoh.
“Kita mahu lahirkan masyarakat Madani dan umat Islam yang meletakkan segala harapan serta kebergantungan kepada Allah SWT… Allah sahajalah tempat kita mengadu nasib apabila menghadapi kesusahan.
“Elakkan diri daripada mendapat nasihat dan meletakkan harapan kepada bomoh sebab kalau silap langkah, ia akan melibatkan soal akidah dan dibimbangi termasuk dalam golongan yang melakukan perbuatan syirik,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan Program Santuni Madani: Mini Karnival Kampung Angkat Madani di Kampung Baru di sini yang turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa.
Sebelum ini, media melaporkan ibu kepada Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain yang meninggal dunia akibat dibuli dan didera tujuh tahun lalu meluahkan rasa kesal terhadap bomoh didakwa menjadi punca kepada kes itu.
Dalam kejadian itu, nama Allahyarham dilapor telah disebut seorang bomoh kononnya terlibat dalam kes kehilangan komputer riba milik salah seorang penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) menyebabkan mangsa dipukul beramai-ramai.
Selasa lalu, Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas enam bekas penuntut UPNM kerana membunuh Zulfarhan.
Sementara itu Dr Mohd Na’im ketika melakukan Ziarah Madani Kampung Baru mengunjungi rumah Siti Norsiah Mashkor yang tinggal bersama kakaknya yang berumur 71 tahun di rumah pusaka.
Siti tidak bekerja kerana faktor usia dan kelangsungan hidup bergantung penuh dengan bantuan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) manakala komuniti sekitar dan pihak masjid sering menghulurkan bantuan berbentuk makanan
“Saya menyampaikan sumbangan pek barangan keperluan dan juga wang RM500.
Moga dengan bantuan ini sedikit sebanyak dapat membantu Puan Siti Norsiah dan juga kakaknya,” katanya.
Nnn
