PBSL: Ismail Sabri minta penjelasan rayuan Najib

KUALA LUMPUR 7 Mac – Bekas Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob meminta kerajaan memberi penjelasan terhadap rayuan Najib Razak untuk menjalani baki hukuman penjaranya di rumah menerusi program Pelepasan Banduan Secara Berlesen (PBSL).

Ahli Parlimen Bera itu berkata, beliau difahamkan rayuan sedemikian sudah dikemuka kepada lembaga pengampunan yang bersidang sebelum ini.

“Selain rayuan pengampunan, saya difahamkan ada lampiran untuk membuat rayuan supaya beliau ditukarkan tempat tahanan dari tahanan di (Penjara) Kajang ke tahanan di rumah. Jadi soalan saya, apakah ini benar atau tidak.

Kalau ianya benar, apakah ianya dibincangkan sewaktu pembentangan rayuan pengampunan dan apakah keputusannya,” katanya ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.

Pada 1 Februari lalu, Urusetia Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, dalam kenyataannya mengumumkan bekas Perdana Menteri, Najib diberi pengurangan 50 peratus bagi hukuman penjara 12 tahun kepada enam tahun, serta denda dikurangkan dari RM210 juta kepada RM50 juta

Sebelum ini Menteri Dalam Negeri,  Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan, kerajaan secara prinsip bersetuju memulakan PBSL menerusi tahanan di rumah kepada banduan yang menjalani hukuman empat tahun dan ke bawah sebagai usaha mengurangkan kesesakan penjara.

Beliau berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) kini dalam proses meneliti kaedah pelaksanaan inisiatif itu dari sudut peruntukan undang-undang berkaitan bagi memastikan sama ada akta serta peraturan sedia ada perlu digubal atau tidak.

Bagaimanapun , Saifuddin membidas laporan yang mendakwa pelaksanaan PBSL menerusi tahanan di rumah adalah untuk mengeluarkan Najib yang juga bekas Perdana Menteri dari penjara.

Saifuddin sebaliknya menegaskan, tindakan itu bertujuan mengurangkan kesesakan di kesemua 43 penjara di negara ini yang ketika ini menempatkan kira-kira 80,000 orang banduan.

Related posts

Leave a Comment