KUALA LUMPUR 7 Mac – Sebarang kenyataan yang menyentuh sensitiviti kaum perlu dijaga supaya ia tidak menimbulkan polemik yang berpanjangan, kata Ismail Sabri Yaakob (BN Bera) di Dewan Rakyat hari ini.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, adalah menjadi tanggungjawab besar pemimpin supaya lebih berhati-hati untuk mengeluarkan kenyataan khususnya dalam menghormati penduduk asal yang merupakan majoriti di negara ini.
“Kenyataan seperti mengangkat Kampung Baru Cina sebagai tapak warisan UNESCO dan Bak Kut Teh sebagai makanan warisan tidak akan mengukuh integrasi kaum malah boleh menimbulkan polemik yang berpanjangan,” katanya.
Ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja hari ini, Ismail Sabri juga sedih selepas hampir 70 tahun negara mencapai kemerdekaan masih ramai yang tidak mampu menguasai Bahasa Melayu dengan baik lagi betul.
“Kita masih gagal dalam memupuk perpaduan sebagai sebuah negara bangsa yang sebenar-benarnya. Integrasi kaum hanya pada lapisan formal, tidak menjalar sehingga ke akar umbi.
Oleh itu, saya menjunjung dan menyokong saranan Yang di-Pertuan Agong supaya jurang defisit sosial perlu dirapatkan segera,” katanya.
Mengenai ekonomi, beliau berkata negara memerlukan satu strategi yang jelas untuk jangka sederhana dan jangka panjang bagi kestabilan ekonomi daripada kekejutan persekitaran luaran.
“Ini kerana pelabur mahukan situasi di mana mereka boleh menjangka masa depan di negara ini. Keadaan yang samar-samar menyukarkan mereka untuk membuat keputusan,” katanya sambil menambah, dasar percukaian perlu dilihat kembali.
Ismail Sabrri berkata, pada tahun ini sahaja beberapa cukai baharu diperkenalkan dan cukai sedia ada dinaikkan sehingga menurunkan kuasa beli rakyat dan seterusnya memberi impak kepada kitaran penjanaan pengganda ekonomi dan pulangan pelaburan.
“Saya yakin dengan dasar percukaian hari ini ditambah dengan kelemahan Ringgit akan terus meningkatkan kos sara hidup rakyat kerana kebergantungan tinggi negara kepada bahan mentah dan makanan yang diimport,” katanya.
Nnn
