Pelik, di mana beras tempatan?

KUALA LUMPUR 7 Mac – Bekas Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob menyifatkan sesuatu yang pelik apabila beras tempatan ‘hilang dari pasaran’ sedangkan negara mengeluarkan 62 peratus makanan ruji itu, manakala tidak sampai 30 peratus adalah beras import

Ahli Parlimen Bera itu mendakwa, senario itu melibatkan kartel yang mengawal pasaran beras tempatan negara.

“Saya difahamkan banyak beras tempatan hanya ditukar kampit sahaja kepada import. Mereka membuat keuntungan yang tinggi,” katanya semasa membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.

Justeru beliau menggesa supaya kerajaan segera menghapuskan kartel seperti mana yang dilakukan oleh Kerajaan Keluarga Malaysia untuk mengekang kartel ayam.

Katanya , semasa pentadbiran beliau, Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) yang dipengerusikannya pada 31 Januari 2022 mengarahkan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) menjalankan siasatan terhadap kartel kartel yang menguasai pasaran ayam.   

Dan pada 22 Disember 2023, MyCC mengenakan denda sebanyak RM415 juta terhadap lima syarikat kerana membentuk “kartel makanan ayam” untuk menetapkan harga.

“Inilah golongan rakus yang mengambil keuntungan dengan menindas golongan yang memerlukan,” katanya.

Kelmarin, seorang lagi bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perbahasannya juga membangkitkan tidak pernah berlaku sebelum ini beras tidak ada dalam pasaran.

“Manakah pergi beras tempatan? Sampai ke hari ini tak terjawab oleh pihak kerajaan.

Semasa saya di sebelah sana, dalam Kementerian Pertanian, kementerian domestic trade dan sebagainya, tak pernah berlaku soal tak ada beras dalam pasaran. Tak pernah berlaku soal kenaikan beras. Waktu itu diuruskan oleh pihak BERNAS.

Saya tak kata saya setuju monopoli 100 peratus tapi tak berbangkit soal beras tak ada. Beras tempatan patut lebih banyak daripada beras import tapi sekarang ini beras import lebih banyak daripada beras tempatan,” katanya.

Related posts

Leave a Comment