KDN teliti Thai Hot Guy

PUTRAJAYA 22 Mac –  Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mendapatkan maklumat lanjut termasuk bagi mengenal pasti penganjur acara hiburan ‘Thai Hot Guy’ yang dikatakan akan berlangsung di sebuah kelab malam di Jalan Tun Razak akhir bulan ini.

Menterinya,  Saifuddin Nasution Ismail, berkata, KDN akan juga meneliti pihak yang memberi kelulusan program berkenaan yang boleh mewujudkan keresahan dalam kalangan masyarakat ketika bulan Ramadan.

“Pertama, kita kenal pasti siapa buat, kelulusan pihak mana, pihak berkuasa tempatan (PBT) atau mana-mana pihak.

Reaksi umum saya jelas, memasuki ambang Ramadan ini, sebaik-baiknya acara seumpama itu tidak diteruskan.

“Ia boleh mewujudkan keresahan, umat Islam seluruh dunia akan menyambut bulan suci, aktiviti ini boleh menimbulkan keresahan,” katanya selepas Perhimpunan Bulanan KDN di sini, hari ini

Saifuddin berkata, sikap saling menghormati hidup bermasyarakat pelbagai kaum dengan sensitiviti tersendiri perlu dijaga.

Difahamkan, satu acara hiburan menampilkan persembahan pelayan lelaki berbadan sasa dari Thailand yang berpakaian wanita dikenali sebagai Thai Hot Guy, bakal dianjurkan di sebuah kelab malam di Jalan Tun Razak pada 30 Mac ini.

Penganjuran acara itu yang dipromosi di beberapa platform media sosial mendapat kecaman dan kritikan pelbagai pihak yang mendesak supaya ia dibatalkan.

Related posts

Leave a Comment