Thai Hot Guy: Tidak wajar guna nama Tun Razak

KUALA LUMPUR 22 Mac – Ketua UMNO bahagian Langkawi, Mohd Nazifuddin Najib membantah sekeras kerasnya pertunjukan ‘Thai Hot Guy’ yang dijadualkan pada 30 Mac ini di sebuah kelab di ibu negara.

Anak bekas Perdana Menteri itu berharap pihak berkuasa mengambil tindakan keras kepada pihak penganjur agar perkara ini boleh dihalang dan dibanteras mengikut kaedah perundangan negara.

“Tular iklan promosi pertunjukan ‘Thai Hot Guy’ yang dijadualkan pada 30 Mac 2023 ini di sebuah kelab bertempat di Ibu negara.

“Saya membantah sekeras kerasnya pertunjukan seperti ini tambahan di bulan Ramadan, di mana adalah lebih afdhal mempromosikan majlis-majlis ilmu mahupun majlis yang mempunyai pengisian agama,” katanya menerusi Facebooknya.

Pada masa yang sama, beliau menyifatkan adalah amat tidak wajar menggunakan nama Allahyarham Tun Abdul Razak (Privacy Club Tun Razak) sebagai bahan promosi acara kelab berkenaan.

“Tambahan, menggunakan nama Tokda Allahyarham Tun Abdul Razak saya sebagai bahan mahupun artikel promosi adalah sangat memalukan keluarga besar saya.

“Ini adalah sangat sangat tidak wajar dan saya melihat ia satu penghinaan buat Allahyarham sendiri.. kecewa dan sedih, itu yang bersarang dalam hati saya,” kata cucu Tun Razak itu.

Nazifuddin berkata, beliau tidak sesekali bermaksud untuk menghalang mereka yang bukan beragama Islam untuk berhibur, namun perlu ada kewajaran dalam meluluskan hiburan seperti ini dalam kehidupan di negara yang berbilang agama serta bangsa.

Related posts

Leave a Comment