Kes melonjak di Seremban

PAGI ini grup WhatsApp mengirim maklumat daripada seorang doktor. Beliau memaklumkan mengenai Seremban dah jadi zon merah. Begini tulisannya

“SAYA perasan ramai yang duk cerita banyak kereta mula membanjiri Bandar Seremban sejak awal pagi tadi. Hingga ada yang beritahu PKP seolah-olah dah makin longgar. Mulalah seharian hati ni rasa tak sedap. Serba serbi tak kena.

Tup-tup sekejap tadi dapat berita 41 kes baru positif dikesan kat Seremban ni!

Bukan 4 kes. 41 woih!

Lemah seluruh sendi badan lalu tersandar ke kerusi masa mula mula tahu berita ni tadi. Satu demi satu wajah rakan-rakan sekerja dekat Hospital Seremban sana tiba-tiba menerpa ke dalam fikiran.

Ada antara kami yang dah sebulan terpisah dengan isteri. Ada yang baru seminggu menimang cahaya mata. Ada yang isterinya sedang sarat mengandung.

Kawan-kawan yang bertugas di wad pun ramai yang mengadu dah terlampau letih dengan ujian wabak kali ini. Dan mereka ni nak tak nak kena terus bekerja dan bekerja untuk lawan virus yang kita semua tak nampak ni.

Sebahagiannya terpaksa dapatkan bantuan kaunseling disebabkan terlampau stress. Siapa yang tak stress bila terus berada dalam suasana kerja berisiko tinggi untuk terkena jangkitan maut dalam tempoh yang panjang.

Siapa yang tak stress bila saban hari ada yang diarah untuk jalani kuarantin. Siapa yang tak stress bila anak dan isteri turut berisiko untuk dijangkiti. Paling malang, stress tu timbul bila berterusan terpaksa berhadapan dengan sejumlah manusia degil yang tak reti patuh arahan berkurung!

Kawan-kawan,
Di Seremban ni sahaja kita dah ada 260 orang pesakit positif. 2 kawasan diletakkan dalam zon merah. Manakala 2 lokasi lagi dah dikategorikan sebagai zon jingga. Lain-lain lokasi hampir kesemuanya termasuk dalam kategori zon kuning.

Sekiranya masih lagi bersikap sambil lewa dan bangga dengan sikap pentingkan diri sendiri, ketahuilah yang kita akan menzalimi lebih ramai orang lebih lebih lagi petugas kesihatan.

Bersedialah untuk menerima lebih banyak kes positif, dikenakan perintah berkurung yang lebih keras serta melihat pertambahan jumlah kematian di kawasan kita ni.

Tolong kongsikan pesanan ini pada ahli keluarga dan sahabat agar mereka terus beringat dan berhati-hati. Bukan nak menakutkan,tetapi saya harap kita sama-sama jangan ambil mudah.

Dr. Ahmad Luqman Bukhari, Seremban

SAHLAH mengikut laporan Pusat Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) Kementerian Kesihatan (KKM), zon merah Covid-19 kekal 26 daerah dengan Seremban merekodkan peningkatan mendadak sebanyak 41 jumlah kes positif.

Berdasarkan infografik CPRC KKM yang dikongsikan melalui media sosial rasmi KKM hari ini, daerah berkenaan merekodkan 260 kes setakat 12 tengah hari semalam, berbanding 219 kes sehari sebelum itu.

Selain itu, daerah Hulu Langat turut mencatatkan tambahan kes positif iaitu 419 kes berbanding 388 kes, manakala kawasan Lembah Pantai meningkat daripada 496 kes kepada 515 kes.

Negeri Selangor masih mencatatkan bilangan kes positif tertinggi iaitu 1,249 kes manakala kes terendah dengan masing-masing merekodkan satu kes di sembilan daerah iaitu Baling, Padang Terap, Bandar Bahru dan Sik di Kedah; Raub di Pahang; serta Sri Aman, Matu, Mukah, dan Lawas di Sarawak.

Zon merah mewakili jumlah positif melebihi 41 kes, zon jingga (20-40 kes), zon kuning (1-19 kes) dan zon hijau tiada kes.

Antara kawasan yang menghampiri zon merah adalah Muar (40 kes) dan Kulai (37 kes) di Johor, Dungun di Terengganu (37 kes), Seberang Perai Tengah di Pulau Pinang (38 kes), Kota Kinabalu dan Lahad Datu di Sabah (39 kes).

Related posts

Leave a Comment