KUALA LUMPUR 30 April – Polis menahan blogger, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau dikenali sebagai Papagomo, hari ini, kerana disyaki mengeluarkan kenyataan mengaibkan Yang di-Pertuan Agong (YDPA).
Kenyataan itu dikesan dalam satu hantaran video berdurasi 2 minit 46 saat yang memaparkan Wan Muhammad Azri didakwa mempersoalkan tindakan YDPA bertemu pemilik kedai serbaneka KK Mart di Istana Negara.
Hantaran video itu turut dikatakan mendakwa bahawa baginda mengarahkan Ahli Jawatankuasa Penerangan Bersatu, Badrul Hisham Shaharin atau Chegu Bard, 45, dituduh di mahkamah mengikut Akta Hasutan.
Sementara itu, Ketua Polis Negara Razarudin Husain mengesahkan Wan Muhammad Azri ditahan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman bagi membantu siasatan berkaitan video didakwa berbaur hasutan dimuat naik oleh pempengaruh itu.
Beliau berkata Wan Muhammad Azri ditahan di rumahnya di Setapak di sini tengah hari tadi dan pihaknya sedang dalam proses memohon perintah reman terhadap Papagomo bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
