MASIH ramai yang degil. Semalam 1,374 individu ditahan kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) merangkumi 931 individu dikenakan kompaun RM1,000; 418 individu direman dan 25 individu telah dijamin polis.Sebanyak 427 individu telah dituduh di mahkamah di atas kesalahan mengingkari PKP.
Jumlah tangkapan kumulatif ingkar PKP, sehingga 13 April 2020, adalah 9,990 individu dan jumlah keseluruhan kompaun dikeluarkan sebanyak 4,036.
Mulai esok, Fasa Tiga PKP, polis tida lagi menjadikan denda kompaun RM1,000 sebagai pilihan utama untuk individu yang sengaja mengingkari PKP. Mereka yang ditahan, akan direman dan seterusnya dihadapkan ke mahkamah.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan lebih tegas perlu diambil ekoran sikap sambil lewa rakyat yang semakin meningkat berdasarkan jumlah kenderaan di atas jalan, serta peningkatan jumlah mereka yang ingkar terhadap arahan PKP.
“Kita lihat seolah-olah rakyat tidak peduli atau tidak takut kepada undang undang yang kita ada hari ini. Mungkin RM1,000 tidak dianggap begitu tinggi untuk menakutkan mereka yang terus ingkar kepada PKP.
Oleh itu, kita telah bersetuju bahawa polis mulai esok tidak lagi beri tumpuan kepada kompaun, sebaliknya, sesiapa yang ditahan akan direman atau dihadapkan ke mahkamah, dan biarlah mahkamah putuskan hukuman lebih berat,” katanya dalam sidang media harian Covid-19 di Putrajaya hari ini.