Sultan Nazrin Pengerusi MKI

KUALA LUMPUR 30 April – Mulai 9 Mac 2024 sehingga 8 Mac 2026, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, dilantik sebagai Pengerusi baharu Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) bagi tempoh dua tahun.

Baginda menggantikan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang tamat menjalankan tugas sebagai Pengerusi MKI selama dua tahun.

Menurut Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad,  pelantikan itu diputuskan pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-265 walaupun terdapat titah agar Sultan Selangor menyambung khidmat dua tahun lagi.

Bagaimanapun,  Sultan Sharafuddin bertegas untuk mengundur diri supaya tugas dan peranan penting sebagai Pengerusi MKI dipertanggungkan kepada seorang Raja lain.

“(Sultan Selangor) menghujahkan bahawa tugas serta amanah besar itu dipertanggungkan secara bergilir yang melambangkan semangat kebersamaan tanggungjawab dalam kalangan Raja-Raja sebagai Ketua Agama Islam di negeri masing-masing, untuk menjaga dan memelihara agama Islam menurut yang termaktub dalam Perlembagaan.

Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja menghargai kehendak dan asbab baginda untuk tidak berkenan dilantik semula,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Setelah mendapat perkenan Majlis Raja-Raja, Syed Danial berkata, Sultan Nazrin menyambut keputusan Raja-Raja untuk meneruskan khidmat bakti cemerlang Sultan Selangor, dengan harapan akan mendapat nasihat dan bimbingan berterusan daripada Raja-Raja.

Baginda turut memohon mendapat petunjuk Ilahi untuk menyempurnakan tanggungjawab yang diamanahkan sebagai Pengerusi MKI.

Sultan Sharafuddin pada 7 Mac lalu menzahirkan hasrat tidak menyambung tugas sebagai Pengerusi MKI selepas tempoh perkhidmatan baginda tamat pada 9 Mac, dan menyerahkan kepada Majlis Raja-Raja untuk memilih pengerusi baharu dalam kalangan Raja Pemerintah agar kesinambungan fungsi serta aspirasi MKI akan dapat diteruskan pelaksanaannya dengan lebih baik.

Sultan Sharafuddin mula menjalankan tugas sebagai Pengerusi MKI pada 10 Mac 2022.

Peraturan 2(1) Peraturan-Peraturan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia 2022 menetapkan Pengerusi MKI hendaklah dipilih dalam kalangan Raja Pemerintah oleh Raja-Raja, dan hendaklah memegang jawatan selama tempoh dua tahun serta boleh diperbaharui.

Related posts

Leave a Comment