Segerakan reformasi sistem, institusi

KUALA LUMPUR: Reformasi sistem dan institusi perlu dilaksanakan segera terutama berkaitan pemusatan kuasa seperti sering dilaungkan sebelum kerajaan yang ada pada hari ini menerajui pentadbiran negara, kata Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Wakil tunggal MUDA dari Muar itu berkata, langkah itu bukan sahaja bagi mengelak daripada memberi mesej salah kepada rakyat terutama golongan muda sebaliknya  bimbang reformasi itu dilupakan sekiranya tiada desakan atau garis merah ditetapkan bagi pelaksanaan merealisasikan hasrat ke arah itu.

Pada masa yang sama, beliau mengingatkan, kegagalan atau kelewatan melaksanakan reformasi itu dikhuatiri akan menormalisasi amalan rasuah yang akhirnya akan menghancurkan negara dan masa depan golongan muda.

“Saya sendiri menyokong janji membanteras rasuah. Ketika menyertai kempen pilihan raya sebelum ini, setiap ucapan ada janji antirasuah dan akan memenjarakan pemimpin A, B atau C.

“Tidak pernah sekali pun dalam ucapan saya nyatakan akan penjarakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebaliknya menegaskan perlu patuh kepada kedaulatan undang-undang.

Namun, selepas pilihan raya, perubahannya amat drastik. (Kerajaan) tidak ditekan lagi dan majoritinya 148 ahli Parlimen, bukan seperti dua Perdana Menteri terdahulu yang majoritinya tiga hingga lima ahli Parlimen sahaja, terus menggugurkan 47 kes rasuah (dihadapi Ahmad Zahid),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 di Dewan Rakyat, hari ini.

Syed Saddiq turut mempersoal tindakan Peguam Negara menggugurkan pertuduhan rasuah dihadapi Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional dan Presiden UMNO.

Tindakan itu dikhuatiri memberi mesej dan duluan (precedent) kurang tepat, terutama kepada golongan muda yang mahu membabitkan diri dalam arena politik negara.

“Bagaimana rakyat dan pelabur mahu percaya? Saya lebih risau bagaimana anak muda yang ingin menyertai politik. Hari ini apa ‘precedent’ (duluan) yang kita tinggalkan (kepada mereka).

“Precedent-nya ialah kamu boleh curi ratusan juta ringgit, lupakan bina hospital dan sekolah mahupun membela rakyat. Curilah sebanyak mungkin, bila ditangkap, didakwa selepas lima tahun, tak apa runding, guna kuasa dan selepas itu kerajaan di bawah pentadbiran kamu boleh menggugurkan kes terbabit.

“Apakah mesej yang kita mahu sampaikan kepada golongan muda di negara ini? Sebab itu saya rasa ungkapan tangan kiri lawan rasuah, tangan kanan bebaskan rasuah adalah tepat dan benar,” katanya.

Terdahulu, Syed Saddiq menerima kunjungan lebih 30 orang pelajar dan guru-guru daripada Muar untuk mengikuti persidangan Dewan Rakyat.

“Semua bangun pagi-pagi naik bas 3 jam ke KL. Semua semangat nak lihat Parlimen. Alhamdulillah mereka juga sempat mengikuti perbahasan saya untuk KSP RMK12. Biasanya Parlimen akan meriah sikit dengan “jerit-menjerit”.

“Tapi inilah suara demokrasi. Saya harap adik-adik dapat belajar dan inspirasi dari lawatan ini.Keep your thirst for knowledge and keep learning. Siapa tahu satu hari nanti ada antara mereka ini mungkin akan jadi Ahli Parlimen Muar juga,” katanya melalui Facebooknya.

Menurut Syed Saddiq, beliau memang mahu mengadakan lawatan sebegini untuk mendedahkan anak-anak kepada sistem demokrasi dan pengetahuan undang-undang negara.

“Kerana merekalah saya berada di sini, saya tak akan sesekali khianati kepercayaan yang telah diberikan,” katanya.

 

Related posts

Leave a Comment