QSR tutup sementara cawangan KFC terpilih

KUALA LUMPUR 30 April –  QSR Brands (M) Holdings Bhd dan KFC Malaysia menutup sementara cawangan terpilih berikutan persekitaran ekonomi yang mencabar ketika ini.

Dalam satu kenyataan, QSR Brands, bagaimanapun tidak mendedahkan jumlah penutupan serta lokasinya.

Menurut kenyataan itu, penutupan adalah sebahagian daripada usahanya menguruskan peningkatan kos perniagaan dan memberi tumpuan kepada operasi perniagaan di kawasan yang lebih baik.

“Kakitangan dari cawangan yang terjejas ditawarkan peluang untuk berpindah ke cawangan yang masih beroperasi sebagai sebahagian daripada strategi taktikal untuk mengoptimumkan sumber dalam zon perniagaan yang menerima pelanggan yang lebih tinggi,” katanya.

Kenyataan itu yang tidak menyatakan jumlah penutupan memaklumka sumbangan QSR Brands kepada ekonomi melalui jaminan pekerjaan untuk 18,000 ahli pasukan di Malaysia, dengan kira-kira 85 peratus adalah beragama Islam.

Di samping itu, QSR Brands terus menjadi antara pembayar cukai terbesar di Malaysia dan berbangga kerana dapat memberi kembali kepada masyarakat melalui KFC Add Hope dan Dana Zakat Wakalah.

“Kami amat percaya rakyat akan mengiktiraf latar belakang Malaysia kami, keikhlasan kami dan kerja keras kami dalam menyumbang kepada ekosistem Malaysia,” kata QSR Brands.

Terdahulu, akhbar harian berbahasa Cina, Nanyang Siang Pau mendakwa 108 cawangan KFC telah ditutup buat sementara waktu, berdasarkan data Google Maps.

Laporan itu turut menyebut cawangan di Kelantan paling banyak terjejas sehingga 21 ditutup sementara, manakala Johor 15 cawangan.

Selain itu, Singapore Straits Times turut memetik sumber tanpa nama daripada QSR Brands yang mengaitkan penutupan itu berpunca daripada kesan boikot orang awam dan ia boleh dilihat sebagai peluang untuk menghentikan beberapa operasi cawangan KFC.

Terdapat lebih 600 restoran KFC di Malaysia, dikendalikan oleh QSR Brands yang kini dimiliki oleh Johor Corporation iaitu syarikat milik kerajaan negeri Johor.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment