RIYADH: Perdana Menteri, Anwar Ibrahim menzahirkan kesediaan Malaysia untuk bekerjasama dengan Qatar dan negara lain di rantau Asia Barat bagi memberikan rawatan kepada rakyat Palestin yang cedera akibat keganasan rejim Zionis.
Anwar menyatakan kesediaan itu kepada Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman bin Jassim Al Thani ketika mereka mengadakan pertemuan dua hala di luar Mesyuarat Khas Forum Ekonomi Sedunia (WEF) di sini, hari ini.
Pada pertemuan itu, Perdana Menteri turut menzahirkan penghargaan Malaysia kepada Qatar atas peranan negara itu membantu usaha membawa keluar rakyat Malaysia Nurul Ain Haron dari Gaza pada November 2023.
Nurul Ain bersama suaminya, Mohamed AM Shaat yang juga warga Palestin, selamat tiba di Malaysia pada 14 November 2023 selepas dibawa keluar dari kawasan konflik melalui Lintasan Sempadan Rafah.
Anwar juga menyatakan sokongan terhadap peranan Qatar sebagai pengantara dalam isu Palestin serta memaklumkan rakan sejawatnya itu bahawa beliau akan berkunjung ke Doha bagi menghadiri Forum Ekonomi Qatar pada pertengahan bulan depan.
Perbincangan kedua-dua pemimpin turut menyentuh mengenai peluang meningkatkan pelaburan di Malaysia dan Qatar selain melonjakkan hubungan perdagangan kedua-dua negara yang kini bernilai AS$910 juta (RM4.34 bilion).
