Andalusia penuhi impian OKU penglihatan

SEPANG 30 April – Terima kasih Andalusia! Itulah reaksi jemaah orang kurang upaya (OKU) penglihatan sejurus mereka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini setelah berjaya menjejakkan kaki di Tanah Suci Makkah dan Madinah.

Walaupun cacat penglihatan, 30 jemaah umrah ini dapat melakukan ibadah seperti orang normal, cuma yang membezakan adalah mereka tidak dapat melihat bagaimana rupa Kaabah walaupun hanya diberitahu ia berbentuk empat segi.

Bagaimanapun mereka memiliki kelebihan tersendiri di mana kumpulan OKU yang terdiri daripada 20 individu buta sepenuhnya dapat merasai atau memegang Kaabah yang mungkin bagi orang normal tidak berpeluang berbuat demikian.

Ketika di Masjid Nabawi pula, mereka mendapat keistimewaan berada di saf hadapan ketika di Raudah malahan masa untuk mereka solat dan berdoa lebih panjang berbanding jemaah lain.

Ketibaan mereka dari Jeddah di KLIA hari ini disambut oleh Pengerusi Andalusia Travel & Tours (Andalusia) Datuk Md Daud Che Ngah serta para petugas Andalusia dan keluarga jemaah.

Md Daud berkata, Andalusia memilih peserta melalui Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (Pertis), supaya memudahkan urusan pentadbiran termasuk pemilihan jemaah lebih telus dan memenuhi kelayakan.

Katanya, Andalusia bersyukur dapat memenuhi hasrat golongan OKU itu dan ini merupakan satu aktiviti kebajikan yang dikongsi bersama hasil sokongan masyarakat terhadap syarikat pengendali haji dan umrah itu.

Terharu dengan sambutan masyarakat di mana lebih 9 juta menonton video program ibadah itu, Md Daud menganggap ia satu kemuncak kejayaan dalam tempoh lebih 40 tahun beliau terlibat dengan ibadah itu termasuk semasa bersama Tabung Haji.

Terdahulu, rakaman video berdurasi dua minit 11 saat itu memaparkan kumpulan jemaah OKU penglihatan sedang menunaikan ibadah umrah. Ia mengundang sebak dan terharu masyarakat.

Untuk rekod, di samping tajaan sepenuhnya pakej umrah bagi 30 individu OKU itu, pihak Andalusia turut menaja 10 pengiring bagi membantu memudahkan pergerakan kumpulan jemaah itu, sekurang-kurangnya tiga orang setiap pengiring.

Kumpulan ini juga mendapat khidmat mutawif muda Andalusia, Mohd Firdaus Mohd Salleh atau lebih dikenali sebagai Ustaz Rock yang banyak memberi semangat atau motivasi kepada kumpulan itu.

Sementara itu, Naib Yang Dipertua Pertis, Jasmadin Budin yang juga penyelaras program berkata, ini merupakan projek pertama Pertis untuk membawa jemaah OKU penglihatan menunaikan umrah dengan menerima penajaan dari Andalusia termasuk sumbangan daripada pihak-pihak lain.

Jasmadin OKU penglihatan sepenuhnya turut melahirkan rasa syukur apabila kesemua jemaah berjaya menyelesaikan ibadah umrah masing-masing dan selamat tiba di tanah air hari ini.

Guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Sinar Bintang, Segambut, berkata, hasrat untuk membawa OKU penglihatan ini merupakan satu cabaran apatah lagi dalam satu kumpulan yang besar sehingga 30 orang jemaah.

“Cabarannya adalah menguruskan perjalanan rombongan seperti ketika memasuki Masjid Nabawi dan Raudah, ketika itu perlu satu susunan yang betul supaya mereka ini tidak berpecah.

“Paling mencabar ketika memulakan tawaf di bahagian bawah, itu lagi memerlukan koordinasi yang baik di antara semua orang supaya kita tidak terpisah atau sesat ketika berhimpit-himpit dengan jemaah yang ramai,” katanya..

Guru al-Quran, Nor Hidayu Mohd Yusoff turut mengucapkan syukur dan terima kasih kepada Andalusia kerana hasrat untuk menunaikan umrah selama ini akhirnya terlaksana juga.

Katanya, lebih istimewa ibadah dan ziarah itu dapat disempurnakan secara beramai-ramai bersama rakan-rakan senasib dengannya dan dipermudahkan urusan sepanjang 12 hari 10 malam berada di tanah suci Makkah dan Madinah.

Walaupun mereka tidak dapat melihat Kaabah seperti individu normal yang lain, namun suasana yang dirasai ketika pertama kali menjejakkan kaki ke tempat suci itu sememangnya tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.

“Mutawif beritahu bila kami sudah sampai di hadapan Kaabah dan semua orang terus menangis walaupun kita tak nampak Kaabah dengan mata sendiri.

“Tapi apa yang kita dapat rasakan adalah satu keadaan yang begitu dingin dan tempat itu sangat sejuk, sebab itu lah kami menangis walaupun tidak dapat melihat,” katanya.

Nor Hidayu berkata, dia sudah lama menanam impian untuk menjejakkan kaki ke tanah suci, namun masih belum berkemampuan berikutan kekangan kewangan.

“Terima kasih kepada Andalusia yang menaja kami semua untuk menunaikan umrah, saya doakan mudah-mudahan pihak Andalusia dan kesemua para penyumbang secara langsung dan tidak langsung dimurahkan rezeki mereka,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment