DAP lulus pindaan perlembagaan

SHAH ALAM 25 Sept. – Kongres Khas DAP 2022 hari ini meluluskan pindaan perlembagaan parti itu bagi menghalang Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk senatornya lompat parti.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, berkata pindaan perlembagaan parti yang dipersetujui majoriti perwakilan hari ini, selari dengan Perlembagaan Persekutuan membabitkan Akta Antilompat Parti.

Ini sekaligus menjadikan DAP parti politik pertama yang meminda perlembagaan parti selaras dengan Akta Anti Lompat parti 2022.

Dalam sesi pengundian yang berlangsung hari ini, seramai 632 perwakilan menyokong pindaan itu, manakala dua lagi tidak menyokong.

DAP akan menghantar pindaan itu kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) dan berharap mendapat kelulusan secepat mungkin supaya semua pindaan dapat dilaksanakan sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

“Kita faham bahawa pindaan Perlembagaan Persekutuan sudah digazetkan dan akan berkuatkuasa tak lama lagi sebelum PRU-15. Selari dengan itu, pindaan perlembagaan parti kita hari ini diluluskan dan harap diluluskan oleh pihak ROS,” kata Loke pada sidang media di Pusat Konvensyen IDEAL di sini hari ini.

Sewaktu sesi perbahasan berlangsung, Loke menegaskan kepada akar umbi DAP bahawa pindaan itu amat mustahak untuk menutup kelompangan dalam Perlembagaan Persekutuan yang tidak meliputi Ahli Parlimen yang dipecat dari parti.

Katanya, penjelasan kepada akar umbi turut dibuat mengenai keadaan bagaimanakah yang membuatkan seseorang wakil rakyat DAP hilang keahliannya, sewaktu sesi perbahasan kongres berkenaan.

“Kalau pecat daripada parti tidak kira lompat parti tetapi kita tahu bahawa kalau dia membuat sesuatu yang melanggari keputusan dasar parti, maka dia dipecat dan dia akan kekal sebagai Ahli Parlimen.

“Jadi semasa perbahasan di Parlimen, kita ada tanya perkara ini kepada menteri dan ia sudah direkodkan dalam hansard bahawa menteri katakan bahawa terpulang kepada parti masing-masing,” katanya.

Sementara itu, pada majlis yang sama DAP juga berjaya melancarkan jentera pilihan raya PRU-15 dengan penyerahan bendera Harapan oleh Loke kepada semua pengerusi 13 buah negeri termasuk Wlayah Persekuan dan Labuan, Sabah.

 

 

Related posts

Leave a Comment