11 kes import di Singapura

SINGAPURA 18 Feb. – Sebanyak 11 kes baharu Covid-19 dilaporkan sehingga 12  tengah hari ini menjadikan jumlah keseluruhan 59,832 kes dan kematian kekal 29.

Menurut Kementerian Kesihatan, semua kes import itu telah  dikenakan Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) sebaik tiba di sini.

Seorang warga Singapura dan seorang penduduk tetap yang masing-masing pulang dari United Kingdom dan Bangladesh adalah antara 11 kes import tersebut.

Tujuh kes lagi pemegang permit kerja yang tiba dari India, Indonesia dan Filipina di mana, lima adalah pembantu rumah asing.

Dua kes lagi melibatkan seorang pemegang pas kerja yang tiba dari Emiriyah Arab Bersatu dan seorang pemegang pas pelajar yang tiba dari Itali.

Empat daripada kes berkenaan tiba di Singapura sebelum keperluan wajib ujian serologi pada ketibaan dilaksanakan. Lagi enam kes tidak perlu menjalani ujian sedemikian.

Tiada jangkitan tempatan dilaporkan dalam masyarakat atau di asrama pekerja asing.

Tiga pesakit dibenarkan pulang dari hospital atau kemudahan pengasingan masyarakat. Ini menjadikan jumlah kes yang sudah sembuh di Singapura setakat ini sebanyak 59,679.

Dua puluh lagi pesakit Covid-19 dirawat di hospital, kebanyakan daripada mereka dalam keadaan stabil atau beransur pulih, manakala seorang dalam keadaan kritikal di unit jagaan rapi.

Related posts

Leave a Comment