Tun Faisal digantung 6 tahun

KUALA LUMPUR 28 Mac – Timbalan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Tun Faisal Ismail Aziz, digantung keahlian dalam parti selama enam tahun bermula 27 Mac 2021 atau dua penggal pemilihan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.

MKT membuat keputusan itu pada mesyuarat malam tadi yang dipengerusikan Presiden, Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau digantung hak-hak keahlian dalam parti di bawah fasal 20.9 (b) (c) serta di bawah Perlembagaan UMNO dan Tataetika Ahli UMNO.

Pada 24 Januari lalu, Tun Faisal antara lain mengeluarkan kenyataan bahawa Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi sudah hilang kredibilti selepas percubaan untuk membawa UMNO menyokong Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim gagal beberapa kali.

Sementara itu, Setiausaha Agung UMNO, Ahmad Maslan, ketika ditemui pemberita selepas mesyuarat berkenaan, berkata Mesyuarat MKT mengesahkan penggantungan keahlian seorang ahli UMNO oleh Lembaga Displin parti selama enam tahun.

Beliau bagaimanapun, tidak mendedahkan identiti ahli terbabit termasuk jawatannya.

“Saya ingin maklumkan seorang (ahli UMNO), saya tidak mahu menyebut namanya, kerana biarlah beliau menerima surat penggantungan itu yang telah dihantar sebentar tadi.

“Saya tidak mahu menyebut namanya, tapi ahli MKT mengesahkan keputusan Jawatankuasa (Lembaga) Displin. Penggantungan selama enam tahun atau dua penggal pemilihan MKT.

“Adakah individu itu ahli MKT? Segala perkara itu ada dalam surat berkaitan, segala Perlembagaan yang dilanggar itu ada dalam surat berkaitan, jadi biarlah orang berkaitan menerima surat itu. Saya kira lebih elok,” katanya.

Related posts

Leave a Comment