Lagi kelonggaran PKP 2.0

PUTRAJAYA 18 Feb. – Setelah mengambil kira rayuan pelbagai pihak, kerajaan menambah kelonggaran untuk penduduk yang sedang menjalani kehidupan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0

Kali ini boleh makan di kedai mengikut keluasan meja dengan penjarakan fizikal satu meter serta jumlah penumpang dibenarkan mengikut kapasiti kenderaan.

Menteri Kanan Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob berkata kelonggaran itu berkuat kuasa esok, Jumaat 19 Februari.

“Bagaimanapun, saya nasihatkan supaya masyarakat membuat kawalan kendiri… kanak-kanak kecil dan warga emas tidak digalakkan untuk dibawa keluar,” katanya pada sidang media perkembangan PKP di sini hari ini.

PKP di Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang telah dilanjutkan bermula esok hingga 4 Mac ini.

Berdasarkan SOP di kawasan PKP sebelum ini, hanya dua orang dibenarkan untuk satu meja di kedai makan dan hanya dua penumpang menaiki satu kenderaan.

Ismail Sabri juga berkata mesyuarat bersetuju mencadangkan agar upacara akad nikah di kawasan PKP dibenar dijalankan di pejabat agama dan masjid dengan kehadiran had maksimum 20 orang, tidak termasuk jurunikah serta saksi.

“Bagaimanapun, urusan akad nikah ini di bawah bidang kuasa pejabat agama negeri, ia memerlukan kelulusan pihak berkuasa agama negeri tapi kita bersetuju dengan cadangan had maksimum seramai 20 orang,” katanya.

Sebelum ini, hanya lima orang dibenarkan hadir bagi upacara akad nikah.

Bagi kawasan PKP Bersyarat (PKPB), upacara pernikahan dibenarkan dengan kehadiran had maksimum 50 peratus mengikut keluasan premis dengan penjarakan satu meter dan untuk kawasan PKP Pemulihan (PKPP), kehadiran tetamu adalah mengikut keluasan premis dengan syarat penjarakan fizikal satu meter.

Ismail Sabri berkata bagi pernikahan dan majlis resepsi untuk bukan Islam, perkara itu akan diumumkan Kementerian Perpaduan.

Aktiviti bengkel, kursus, latihan, ceramah dan aktiviti berkaitan mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE) masih tidak dibenarkan di kawasan PKP manakala di kawasan PKPP dan PKPB, ia dibenarkan pada had 50 peratus kehadiran peserta berdasarkan kapasiti premis serta mematuhi syarat penjarakan fizikal satu meter.

Majlis rasmi dan tidak rasmi kerajaan serta swasta, majlis sosial seperti perkahwinan, pertunangan, resepsi, akikah, tahlil dan sambutan kelahiran di kawasan PKP masih tidak dibenarkan manakala di kawasan PKPB, ia dibenarkan dengan had kehadiran tetamu sebanyak 50 peratus mengikut kapasiti premis dan mematuhi penjarakan fizikal, sementara di kawasan PKPP adalah dibenarkan dengan syarat ada penjarakan fizikal.

“Bagi majlis perkahwinan di kawasan terbuka seperti di kampung contohnya, yang disyaratkan adalah mesti ada penjarakan fizikal dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara termasuk memakai pelitup muka, menyediakan QR Code dan buku kehadiran tetamu,” katanya.

Aktivit pelancongan seperti zoo, akuarium dan taman rekreasi di kawasan PKPB dan PKPP dibenarkan beroperasi pada kapasiti 50 peratus keluasan premis namun bagi kawasan PKP dan PKP Diperketatkan (PKPD), aktiviti pelancongan keluar masuk di kawasan terbabit adalah tidak dibenarkan.

Related posts

Leave a Comment