Jangan jadikan isu rasuah modal politik

KOTA BHARU 4 Sept. -Isu rasuah tidak seharusnya dijadikan modal politik untuk menjatuhkan pihak lawan, sebaliknya ia perlu dilihat sebagai kemungkaran yang wajib dicegah, kata Presiden Pas, Abdul Hadi Awang.

Beliau berkata, tindakan terhadap kesalahan rasuah perlu dilaksanakan secara adil,  berpandukan politik berintegriti yang menegakkan kedaulatan undang-undang serta menolak sebarang campur tangan berkepentingan dalam proses penguatkuasaan.

“Malangnya di Malaysia, isu rasuah sering dijadikan modal politik untuk menjatuhkan lawan, bukan sebagai kemungkaran yang wajib dicegah.

“Keadaan ini berlaku apabila tindakan diambil secara terpilih terhadap pihak lawan, sedangkan salah laku dalam kalangan sendiri dibiarkan, sama ada melibatkan penerima rasuah, pemberi rasuah mahupun perantara yang mengatur urusan rasuah,” katanya.

Ahli Parlimen Marang itu berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar bertajuk ‘Penyelesaian Islam Mengisi Kemenangan’ pada Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-72 di PUTIK, Pengkalan Chepa di sini pada Jumaat.

Abdul Hadi memberitahu, Pas amat menyesali kepincangan dalam pengurusan dana awam dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan ia perlu dibawa ke mahkamah apabila cukup bukti bukannya untuk dibicarakan di media ataupun di pentas politik.

“Apatah lagi apabila ia menjadi bahan kempen pilihan raya untuk mencipta persepsi buruk seperti isu Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji,” katanya.

Lebih membimbangkan katanya, kedudukan Islam dan umatnya dalam keadaan paling berbahaya apabila berada dalam pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang dikuasai oleh kumpulan bukan Islam dan menjadi ancaman kepada maqasid al-syariah.

“Maka, tindakan bertujuan menolak kemudaratan yang besar hendaklah diutamakan,”katanya.

Related posts

Leave a Comment