KUALA LUMPUR 22 Okt. – Perikatan Nasional (PN) berhasrat menjemput Bersatu menghadiri mesyuarat gabungan itu dalam masa terdekat, selepas penangguhan penggantungan dan pendaftaran oleh Mahkamah Tinggi.
Setiausaha Agung PN, Takiyuddin Hassan berkata PN akan mengadakan mesyuarat tidak lama lagi susulan keputusan Mahkamah Tinggi hari ini yang membenarkan permohonan penangguhan pelaksanaan tindakan RoS terhadap PN.
“Kita akan mengadakan mesyuarat PN dalam masa terdekat dan menjemput Bersatu untuk hadir,” katanya pada sidang media selepas prosiding mahkamah di sini, hari ini.
Jemputan kepada Bersatu itu dibuat ketika pertikaian dalaman gabungan berkenaan setelah parti pimpinan Muhyiddin Yassin mengemukakan aduan kepada RoS dengan mendakwa parti berkenaan diketepikan daripada mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Julai lalu.
Bersatu turut membangkitkan persoalan berhubung status keahliannya dalam gabungan itu.
RoS mengesahkan menerima aduan Bersatu pada 11 Ogos lalu sebelum mengeluarkan notis tunjuk sebab kepada PN pada 22 September, bagi meminta gabungan itu menjelaskan mengapa pendaftarannya tidak sepatutnya dibatalkan.
Sehari kemudian, RoS menggantung aktiviti PN mengikut Subseksyen 13(2A) Akta Pertubuhan 1966, seterusnya membatalkan pendaftaran PN pada 20 Oktober mengikut Subperenggan 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966.
