GENEVA: Israel menggugurkan lebih 70,000 tan bom di Semenanjung Gaza sejak Oktober lepas, mengatasi jumlah yang digugurkan di Dresden, Hamburg dan London semasa Perang Dunia Kedua.
Pada akhir April, Pemantau Hak Asasi Manusia Euro-Med menganggarkan kira-kira 70,000 tan bom dijatuhkan ke atas Gaza, meliputi tempoh enam bulan antara 7 Oktober dan 24 April.
“Dianggarkan bahawa Israel telah menggugurkan lebih 70,000 tan bahan letupan di Semenanjung Gaza selain daripada operasi pembersihan tanahnya.
Ia mengakibatkan kemusnahan semua bangunan pada jarak sehingga satu kilometer di timur dan utara Semenanjung untuk mewujudkan apa yang dipanggil zon penampan,” kata organisasi pemantau hak asasi manusia yang berpangkalan di Geneva.
Menurut rekod, Jerman mengebom London, menjatuhkan kira-kira 18,300 tan bom antara 1940 dan 1941, manakala pihak Berikat menggugurkan 8,500 tan bom di Hamburg pada musim panas 1943.
Israel meneruskan serangan kejamnya ke atas Gaza berikutan pencerobohan Hamas pada 7 Okt lepas, walaupun resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menuntut gencatan senjata segera.
Menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan, lebih 36,500 rakyat Palestin terbunuh di Gaza, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak serta hampir 83,000 yang lain cedera.
Hampir lapan bulan selepas perang Israel, sebahagian besar Gaza runtuh di tengah-tengah sekatan makanan, air bersih dan ubat-ubatan yang melumpuhkan.
Israel didakwa melakukan pembunuhan beramai-ramai di Mahkamah Keadilan Antarabangsa, yang dalam keputusan terbarunya telah mengarahkan Tel Aviv untuk segera menghentikan operasinya di Rafah, iaitu lebih sejuta rakyat Palestin telah mencari perlindungan daripada perang sebelum ia diserang pada 6 Mei.
