Buka sempadan menjelang akhir tahun

SINGAPURA 14 Mac – Sempadan Singapura mungkin dibuka semula menjelang hujung tahun ini ketika semakin banyak negara mempergiatkan program vaksinasi masing-masing bagi membendung jangkitan dan penularan wabak Covid-19.

Perdana Menteri Lee Hsien Loong berkata, walaupun sebahagian besar perjalanan ke luar negara dilarang buat masa ini, Singapura membenarkan sebilangan lawatan ke sini atas tujuan perniagaan dan urusan rasmi.

Singapura juga sedang berbincang dengan negara-negara lain bagi mengiktiraf sijil vaksin satu sama lain.

“Saya berharap sekiranya banyak negara dapat memvaksin sejumlah besar penduduk masing-masing menjelang hujung tahun ini, kita akan berasa lebih yakin untuk membangunkan sistem-sistem bagi membuka semula sempadan kita untuk menyambung semula perjalanan dengan selamat.

“Semoga menjelang hujung tahun ini atau mungkin tahun depan, sempadan kita boleh dibuka semula, kalau tidak pun, lebih awal dari itu,” katanya dalam wawancara bersama BBC pada 2 Mac lalu dan  disiarkan pada hari ini.

Setakat 8 Mac, Singapura sudah menyuntik sekitar 611,000 dos vaksin, dengan rancangan untuk memvaksin kesemua 5.7 juta penduduknya sebelum hujung tahun ini – meskipun rentak program vaksinasi negara ini lebih perlahan berbanding negara-negara yang lebih besar.

Sungguhpun demikian, pemerintah menegaskan bahawa semua penduduk akan divaksin sebelum hujung tahun ini.

Dengan jumlah kes jangkitan tempatan yang rendah di sini, PM Lee berkata pemerintah mempunyai masa untuk meyakinkan para penduduk supaya mendapatkan suntikan vaksin.

Beliau mendedahkan bahawa sesetengah penduduk berasa ragu-ragu untuk mendapatkan suntikan vaksin kerana risiko jangkitannya rendah di sini dan ada juga yang prihatin terhadap kesan sampingan yang mungkin timbul gara-gara vaksin dihasilkan dengan begitu pantas.

(Foto FB PM Lee)

Related posts

Leave a Comment