KUALA LUMPUR 11 Ogos – Majoriti Ahli Parlimen Pas dan Wawasan bertindak keluar dewan ketika Sidang Khas Dewan Rakyat berhubung Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH) dijalankan kerana kesal sesi itu telah ‘diturunkan’ tarafnya.
Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Takiyuddin Hassan berkata, sebelum ini mereka menjangkakan RCI itu akan dibentangkan untuk dibahaskan Ahli Parlimen sebelum satu ketetapan atau keputusan dibuat.
Bagaimanapun, mereka kemudian dimaklumkan pihak kerajaan bahawa laporan berkenaan hanya berstatus penerangan menteri atau ‘ministerial briefing’.
“Pada anggapan semua orang, laporan ini perlu dibahaskan oleh Ahli Parlimen, seterusnya dibuat satu ketetapan serta satu keputusan.
“Tiba-tiba kami diberitahu oleh pihak kerajaan bahawa status laporan RCI TH ini hanya bertaraf penerangan menteri sahaja atau information explanation,” katanya pada sidang media selepas blok pembangkang keluar secara beramai-ramai dari Dewan Rakyat, di sini.
Satu kenyataan berkaitan isu sama turut dikeluarkan.
Menurut Takiyuddin, keadaan ini berbeza dengan laporan RCI terdahulu yang pernah dibawa ke Parlimen untuk tindakan lanjut termasuk proses pengundian.
“Sebagai contoh yang terakhir RCI mengenai pertikaian status kedaulatan Batu Puteh, kita sepatutnya membuat undian pada masa itu, tetapi malangnya kerajaan tarik balik RCI itu, jadi tidak ada pengundian.
“Jadi kali ini bukan sahaja tidak ada pengundian, malah ‘downgrade’ kepada penerangan menteri sahaja. Perkara macam ini boleh dibuat pada bila-bila masa melalui kenyataan bertulis atau sidang media, tidak perlu persidangan Dewan Rakyat,” katanya.
Ketua Whip PN itu turut mempersoalkan sidang khas berkenaan yang diadakan tanpa kehadiran Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, sedangkan beliau merupakan individu yang memanggil untuk persidangan khas itu diadakan.
“Kami (pembangkang) sudah menghantar surat semalam (10 Ogos) bagi memohon supaya sidang khas tersebut ditangguhkan kerana Perdana Menteri tidak dapat hadir.
“Ini kerana Perdana Menteri yang panggil untuk RCI TH dibentang di sini. Jadi atas dasar itu kita merasakan tidak wajar sekiranya Perdana Menteri tidak hadir semasa persidangan khas RCI TH ini.
“Sama ada beliau nak jawab atau tak jawab dan sebagainya, itu terpulang kepada beliau. Tetapi Perdana Menteri mesti ada di dalam Dewan Rakyat ini semasa persidangan,” jelasnya.
Pada Isnin, Anwar dilaporkan selamat menjalani prosedur pembedahan laparoskopi secara elektif bagi merawat hernia perut atau para-umbilical hernia.
Nnnnn
