DAP minta Amirudin jelaskan isu kerjasama

SEPANG 11 Ogos – Naib Presiden PKR, Amirudin Shari diminta menjelaskan kenyataannya bahawa Pakatan Harapan (PH) terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana parti termasuk Bersatu dan Perikatan Nasional (PN).

Pengerusi Biro Undang-Undang Kebangsaan DAP, Ramkarpal Singh, berkata kenyataan Ahli Majlis Presiden PH itu serius kerana ia menyentuh soal hala tuju gabungan terbabit dan perlu dijelaskan segera bagi mengelak sebarang kekeliruan.

Dalam kenyataannya, Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu berkata penjelasan itu penting sama ada pendirian seumpama itu sudah dibangkit dan diputuskan dalam Majlis Presiden PH.

“Perkara ini serius kerana ia berkaitan dengan hala tuju PH serta rakan-rakan kerjasama yang berpotensi dalam gabungan pada masa hadapan. Sudah tentu perkara ini mesti dibincangkan secara menyeluruh oleh parti-parti komponen sebelum sebarang pengumuman sedemikian dibuat.

Saya tidak mengetahui tentang pendirian sedemikian dan boleh mengesahkan bahawa perkara ini sehingga kini tidak pernah dibangkitkan pada mana-mana peringkat dalam DAP,” katanya.

Beliau berkata, kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat sememangnya pertimbangan utama perlu diambil kira, namun soal rakan gabungan yang mampu bekerjasama demi kepentingan bersama dan kemajuan negara juga sama pentingnya.

“Dakwaan tidak berasas Pas terhadap DAP bahawa parti itu kononnya anti-Islam hanyalah satu contoh, yang pada pandangan saya menunjukkan bahawa tidak mungkin wujud sebarang kerjasama antara kedua-dua parti pada ketika ini,” katanya.

Semalam, Amiruddin menyatakan PH menekankan prinsip kestabilan politik dan kepentingan rakyat dalam menjalinkan sebarang bentuk kerjasama politik dengan mana-mana parti atau gabungan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Gombak berkata, pihaknya sentiasa terbuka dalam menjalinkan kerjasama atau sebarang persefahaman dengan parti atau gabungan yang menerima pakai dua prinsip berkenaan.

Related posts

Leave a Comment