KUALA LUMPUR 11 Ogos – Kenyataan sinis Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) yang menyentuh isu salah laku dan penyelewengan membabitkan orang Melayu Islam, mendapat teguran Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Ramli Mohd Nor.
Mohd Sany menyentuh isu ras dan agama (Melayu dan Islam) pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat mengenai laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH).
Berlaku pertelagahan antara wakil rakyat yang mewakili Amanah itu dengan Ramli yang mempertahankan keputusannya supaya kenyataan itu ditarik balik.
Ramli meminta Mohd Sany menarik balik kenyataan berkenaan secara keseluruhan atau berdepan arahan keluar Dewan selepas Ahli Parlimen itu dilihat masih berdalih ketika diminta berbuat demikian.
Terdahulu, Mohd Sany mencelah ketika Amirudin Shari (PH-Gombak) mengambil bahagian dalam perbahasan dengan mempersoalkan sama ada tindakan mengambil atau menyalahgunakan wang rakyat boleh dianggap tidak bermasalah jika dilakukan individu Melayu beragama Islam.
“Yang Berhormat Gombak (Amirudin)…yang Gombak jadi masalah ni kenapa, tak apalah dia nak curi, rompak, samun atau sakau yang penting yang mengambil duit itu orang Melayu….Melayu! Tak apa ambillah, curilah lagi yang penting Melayu dan Islam sebab dalam negara kita ini, Melayu boleh rompak, curi, sakau dan mentekedarah duit rakyat, janji Melayu, janji Islam tak ada masalah.
Yang tak boleh, Cina dengan India. Melayu curilah, rompaklah harta rakyat dalam negara kita” katanya.
Kenyataan itu mendapat reaksi balas Amirudin yang mengingatkan Sany supaya berhati-hati bila bercakap dan mengeluarkan pandangan.
Dr Radzi Jidin (PN-Putrajaya) yang bangun mencelah juga meminta Mohd Sany menarik balik ucapannya kerana disifatkan menyerang orang Melayu Islam.
Susulan itu, Ramli turut meminta Mohd Sany menarik balik kenyataan itu kerana menyentuh sensitiviti orang Melayu dan umat Islam di negara ini.
Bagaimanapun, Mohd Sany menjelaskan kenyataannya merujuk kepada segelintir individu Melayu Islam yang didakwa terbabit dalam perbuatan mengambil atau menyalahgunakan wang rakyat.
“Disebutkan dalam laporan RCI, Perdana Menteri pada masa itu Melayu Islam, menteri Melayu Islam, timbalan menteri Melayu dan Islam, Pengerusi TH (waktu itu) pun Melayu dan Islam.
“Saya tarik balik tapi saya katakan (tindakan sakau dilakukan) segelintir Melayu Islam,” katanya.
Ramli kemudian memberi kata dua kepada Mohd Sany supaya menarik balik keseluruhan kenyataan itu atau diarahkan keluar Dewan.
“Saya ingatkan Yang Berhormat (Mohd Sany) dan Yang Berhormat yang lain, jika sekali lagi bangkitkan isu menyebabkan rasa tak senang kaum di dalam Dewan ini dan di luar, saya tak teragak untuk perintahkan Yang Berhormat keluar Dewan,” katanya.
Mohd Sany akhirnya akur untuk menarik balik kenyataan berkenaan sebelum perbahasan Amirudin diteruskan.
Nnnn
