Anwar bidas sikap pembangkang

KUALA LUMPUR 11 Ogos – “Nak bahas tentang saya, atau nak bahas tentang Tabung Haji?” Begitulah reaksi Anwar Ibrahim apabila anggota pembangkang khususnya Pas dan Wawasan keluar dari Dewan Rakyat ketika Mesyuarat Khas mengenai Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH).

Perdana Menteri membidas tindakan pembangkang yang didakwa masih mahu ‘bermain drama politik’ susulan keputusan mereka meninggalkan Dewan Rakyat.

Menerusi kenyataan di media sosial hari ini, Perdana Menteri berkata, tindakan berkenaan dilakukan pembangkang kerana tidak mahu menyertai perbahasan selepas beliau tidak dapat menghadiri sidang khas berkenaan.

Beliau turut mempersoalkan niat sebenar pembangkang, sama ada mahu berbahas mengenai dirinya atau isu membabitkan TH yang disifatkannya sebagai institusi kewangan penting kepada umat Islam.

“Nak bahas tentang saya atau nak bahas tentang Tabung Haji? Nak ambil tahu tentang saya atau nak ambil tahu tentang pengkhianatan terhadap Tabung Haji?

Orang Melayu Islam telah dikhianati, tapi masih ada yang mahu main drama politik? Apatah lagi datang dari pihak yang melaung-laungkan tentang Melayu Islam.

Apakah PN (Perikatan Nasional) yang ditunjangi Pas tidak pentingkan kepentingan orang susah, nelayan, petani, guru, polis, tentera, pesara yang mengerah keringat untuk menyimpan wang dalam Tabung Haji untuk menunaikan Rukun Islam kelima?” katanya.

Terdahulu, Mesyuarat Khas Dewan Rakyat berhubung RCI TH kecoh apabila Ahli Parlimen pembangkang meminta sesi berkenaan ditangguhkan atas alasan ketidakhadiran Perdana Menteri.

Beberapa Ahli Parlimen PN bangkit mempersoalkan kewajaran sidang itu diteruskan, antaranya Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) yang menyifatkan keadaan itu seolah-olah majlis perkahwinan diadakan tanpa pengantin.

Wakil rakyat PN kemudian memilih untuk keluar dari Dewan Rakyat selepas permintaan mereka supaya sidang khas itu ditangguhkan ditolak.

Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, pada awalnya membangkitkan Peraturan Mesyuarat bagi meminta sidang khas itu ditangguhkan susulan Perdana Menteri tidak dapat menghadiri sesi berkenaan.

Semalam, Anwar menjalani prosedur pembedahan laparoskopi secara elektif bagi merawat hernia perut atau para-umbilical hernia.

Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah, turut memaklumkan Anwar dijangka berada di bawah pemantauan pasukan perubatan selama dua hari.

Sidang khas itu diadakan susulan laporan RCI TH yang dikeluarkan secara rasmi pada 29 Julai lalu.

(Foto fb Anwar Ibrahim)

Nnnn

Related posts

Leave a Comment