WABAK koronavirus Covid-19 semakin menular keluar dari Tanah Besar China apabila kes yang dicatatkan di serata dunia terus meningkat sama ada pesakit yang didapati positif atau meninggal dunia.
Di Korea Selatan, jumlah jangkitan baharu yang dicatatkan sebanyak 161 kes menjadikan jumlahnya mencecah lebih 600 kes. Dua lagi disahkan meninggal dunia.
Angka di Korea Selatan itu merupakan yang kedua tertinggi selepas China yang kini mencatatkan 2,445 kematian dan 77,050 kes.
Di Baitulmaqdis, Israel mengesahkan kes jangkitan keduanya semalam – rakyat kedua yang pulang dari kapal pesiaran Diamond Princess.
Kedua-dua pesakit itu adalah dalam kalangan 11 warga Israel yang dibenarkan turun dari kapal itu di Yokohama, Jepun, dan diterbangkan pulang setelah diuji negatif Covid-19.
Pada awal Ahad, pihak berkuasa Israel mengarahkan hampir 200 pelajar menjalani kuarantin di rumah setelah mereka berada dalam jarak dekat dengan para pelancong Korea Selatan yang dijangkiti virus itu.
Langkah itu diambil setelah para pelancong, iaitu anggota-anggota gereja Shincheonji Church of Jesus, mengunjungi tapak-tapak Israel antara 8 hingga 15 Februari dan setelah pulang ke tanah air, 18 daripada mereka dijangkiti Covid-19.
Sementara itu, Perdana Menteri Benjamin Netanyahu yang mempengerusikan sebuah mesyuarat khas peringkat tinggi mengenai vrius Covid-19 mengumumkan satu pasukan bertindak akan dibentuk untuk menangani ancaman tersebut.