BEIRUT – Israel melancarkan siri serangan udara baharu di Lubnan dengan menyasarkan kawasan berhampiran sempadan Syria, selepas serangan terdahulu mengorbankan 10 mangsa termasuk enam anggota penyelamat dan seorang kanak-kanak.
Menurut kenyataan kerajaan, ‘enam mangsa syahid’, termasuk dua anggota penyelamat persatuan Risala Scouts serta seorang kanak-kanak perempuan warga Syria dalam serangan ke atas kampung Deir Qanun al-Nahr berhampiran bandar Tyre.
Selain itu, katanya, serangan terdahulu di bandar Hanaway, selatan Lubnan semalam, mengorbankan empat anggota penyelamat Jawatankuasa Kesihatan Islam.
National News Agency pula melaporkan lima serangan udara rejim Zionis dilancarkan di pergunungan Nabi Sreij di pinggir Brital sebelum tengah malam, biarpun kawasan itu tidak diserang sejak gencatan senjata Israel-Hizbullah berkuat kuasa pada 17 April lalu.
Tentera Israel, menerusi jurucakap bahasa Arabnya, Avichay Adraee, sebelum itu mengeluarkan dua amaran pemindahan termasuk kepada penduduk kampung Burj Rahal di Lubnan dengan alasan tentera sedang menjalankan operasi terhadap Hizbullah.
Adraee menerusi platform X berkata, penduduk di dua kawasan dekat Tyre turut diarahkan berpindah kerana ‘terletak berhampiran fasiliti Hizbullah yang akan menjadi sasaran operasi tentera Israel’.
