Iran selaras 26 kapal di Selat Hormuz

TEHRAN – Ketika rundingan dengan Amerika Syarikat (AS) berhubung pembukaan semula laluan perkapalan di Selat Hormuz masih buntu, Iran mendakwa telah menyelaras pergerakan 26 kapal melalui kawasan strategik itu dalam tempoh 24 jam.

Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) dalam satu kenyataan menyatakan bahawa semua trafik di Selat Hormuz kini dikendalikan dengan “kebenaran dan penyelarasan” Tentera Laut IRGC.

Perkembangan itu berlaku susulan langkah Iran memperketat kawalan di selat berkenaan, termasuk penetapan zon maritim terkawal yang mewajibkan kapal mendapatkan kelulusan sebelum transit.

Selat Hormuz merupakan laluan penting perdagangan global, dengan kira-kira satu perlima eksport tenaga dunia melalui kawasan itu sebelum konflik antara AS dan Israel dengan Iran tercetus pada 28 Februari.

Ketegangan meningkat selepas Tehran bertindak menyekat laluan itu, yang kemudiannya dibalas oleh pentadbiran Presiden Donald Trump dengan sekatan terhadap pelabuhan Iran, sekali gus menjejaskan eksport minyak negara itu.

Kebuntuan berterusan antara kedua-dua pihak kini memberi tekanan besar kepada pasaran tenaga global dan mencetuskan kebimbangan mengenai kesan ekonomi yang lebih luas.

Pertubuhan Makanan dan Pertanian Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO) turut memberi amaran bahawa gangguan di Selat Hormuz boleh mencetuskan krisis harga makanan global dalam tempoh enam hingga 12 bulan.

Menurut FAO, kesan gangguan tersebut berlaku secara berperingkat, bermula dengan peningkatan kos tenaga, diikuti baja dan benih, penurunan hasil pertanian, kenaikan harga komoditi, seterusnya membawa kepada inflasi makanan.

Related posts

Leave a Comment