WASHINGTON – Presiden Donald Trump berkata, Amerika Syarikat (AS) bersedia melancarkan serangan lanjut terhadap Tehran sekiranya Iran gagal bersetuju dengan perjanjian damai.
Beliau menggambarkan situasi semasa sebagai “di ambang genting” dan boleh meningkat dengan pantas pada bila-bila masa namun memberi bayangan bahawa pihaknya masih boleh menunggu beberapa hari untuk memperoleh “jawapan tepat.”
Enam minggu selepas beliau menghentikan Operasi Epic Fury bagi memberi laluan kepada gencatan senjata, rundingan untuk menamatkan konflik masih menunjukkan kemajuan yang terhad, selain tekanan kenaikan harga bahan api yang menjejaskan sokongan terhadap pentadbirannya.
“Percayalah, jika kita tidak mendapat jawapan yang tepat, keadaan boleh berubah dengan cepat. Kami sudah bersedia untuk bertindak,” katanya kepada media di Pangkalan Tentera Joint Base Andrews.
Ketika ditanya tempoh menunggu, Trump berkata, ia mungkin mengambil masa beberapa hari, namun menegaskan keadaan boleh berubah dengan segera.
Dalam perkembangan sama, Pengawal Revolusi Iran memberi amaran terhadap sebarang serangan baharu dengan menyatakan sebarang “pencerobohan berulang” akan mencetuskan perang berskala lebih luas melangkaui rantau tersebut.
Tehran turut menubuhkan sebuah badan baharu dikenali sebagai“Pihak Berkuasa Selat Teluk Parsi” untuk mengawal pergerakan kapal di Selat Hormuz yang menjadi laluan penting perdagangan tenaga dunia.
Trump juga mengulangi pendirian AS untuk menghalang Iran daripada memiliki senjata nuklear.
“Kita berada di peringkat akhir berhubung Iran. Sama ada kita capai perjanjian atau kita mungkin terpaksa mengambil tindakan yang lebih keras, tetapi diharap ia tidak berlaku,” katanya.
Nnnn
