SEPANG 19 Mei – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan Wong Siew Ki digesa memohon maaf secara terbuka, tanpa syarat kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah serta rakyat negeri itu atas kenyataannya yang menimbulkan keresahan awam serta mencetuskan ketegangan yang tidak sewajarnya.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) negeri, Mohamed Azmin Ali yang membuat gesaan itu juga menggesa Menteri Besar selaku Ketua Majlis bagi Dewan Negeri Selangor mengambil tindakan tegas terhadap Siew Ki termasuk merujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Negeri Selangor.
“Ini mustahak memandangkan Sultan Selangor adalah salah satu tonggak kepada Dewan Negeri Selangor dalam sistem Raja Berperlembagaan. Speaker wajib menerima usul tersebut demi mempertahankan kemuliaan, kesucian dan martabat Dewan Negeri Selangor,” katanya dalam satu kenyataan.
Mohamed Azmin berkata, kegagalan Menteri Besar selaku Ketua Majlis untuk mengambil tindakan tegas akan hanya memberi persepsi bahawa Dewan Negeri Selangor mengamalkan sikap selektif dua darjat dalam soal disiplin, ketertiban dan penghormatan kepada institusi Raja Berperlembagaan.
Sebelum ini, Siew Ki dalam perbahasan menjunjung kasih titah Sultan Selangor pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) mencadangkan penternakan babi dibenarkan semula di Selangor.
Menurut Siew Ki, penternakan babi sepatutnya tidak dibezakan dengan penternakan haiwan lain yang juga menghasilkan risiko pencemaran dan kesihatan yang sama.
“Mengenai isu penternakan babi, dalam titah ucapan Tuanku, Seri Kembangan memohon ‘Ampun Tuanku’ menyembah bahawa isu ini menyentuh hak kesamarataan warganegara yang terjamin di bawah Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Kenyataan itu mendapat reaksi pelbagai pihak yang merujuk kepada titah Sultan Selangor, yang sebelum ini pernah menyatakan ketegasan baginda menyentuh mengenai aktiviti penternakan babi.
Titah baginda, tiada lagi aktiviti penternakan haiwan itu dibenarkan secara terbuka atau berskala besar di kawasan tertentu bagi menjaga sensitiviti masyarakat serta kelestarian alam sekitar di negeri Selangor.
Dan hari ini pula, Sultan Selangor, bertitah menyarankan ADUN Seri Kembangan, dan bekas Exco DAP, Ronnie Liu datang seminggu sekali ke Dataran Selangor untuk memahami dan menghayati makna Rukun Negara.
Titah baginda, ia supaya mereka menjadi rakyat yang tahu untuk hormat kepada kedaulatan Institusi Raja dan menjaga adab kesopanan dan kesusilaan.
Dalam pada itu, PN menjunjung kasih di atas titah perintah Sultan Selangor yang tegas menzahirkan pendirian berhubung kepentingan memahami dan menghayati prinsip-prinsip Rukun Negara serta menghormati institusi Raja Berperlembagaan sebagai tonggak kestabilan Negeri dan Persekutuan.
Katanya , titah Sultan Selangor bukan sekadar peringatan biasa, tetapi teguran yang amat serius terhadap sikap keangkuhan dan kebiadaban segelintir pemimpin politik yang dilihat gagal memahami batas adab, kesopanan dan penghormatan terhadap institusi Raja-Raja Melayu demi memelihara keharmonian dan kesentosaan rakyat.
“Titah yang secara khusus merujuk wakil rakyat Seri Kembangan, Wong Siew Ki dan Ronnie Liu, jelas menunjukkan bahawa isu ini bukan lagi polemik biasa, tetapi telah menyentuh prinsip-prinsip asas kenegaraan,” katanya sambil menegaskan bahawa isu ini melangkaui perbezaan politik kepartian.
Beliau berkata, mana-mana pihak yang dipilih menjadi wakil rakyat wajib memahami bahawa kebebasan bersuara mesti datang dengan tanggungjawab, bukan kekebalan untuk mencabar adab, tatasusila dan prinsip Rukun Negara yang menjadi asas perpaduan negara.
“Kami menyeru semua pihak agar kembali menghormati semangat Rukun Negara dan menjadikan titah Sultan Selangor sebagai pedoman demi memelihara keharmonian, kestabilan dan perpaduan Negeri Selangor,” katanya.
Nnnnn
