SEPANG 19 Mei – Malaysia mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan yang mana kuasa raja secara amnya terhad kepada aspek-aspek tertentu seperti adat Melayu, Islam dan peranan berpelembagaan seperti pelantikan Menteri Besar serta perkenan pembubaran Dewan Undangan Negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Disiplin DAP Tony Pua menegaskan, rakyat Malaysia tidak hidup dalam sistem di mana raja boleh mengeluarkan titah yang mengikat dan menggubal semua aspek kehidupan rakyat.
Ini kerana menurut bekas Ahli Parlimen Damansara itu, undang-undang digubal di Parlimen dan Dewan-Dewan Undangan Negeri oleh wakil yang dipilih rakyat.
Katanya, semua perkara tersebut adalah selaras dengan Rukun Negara khususnya prinsip 2,3 dan 4 yang menyebut Kesetiaaan kepada Raja dan Negara; Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-Undang.
“Ya, saya setia kepada Raja dan Negara, dan akan mematuhi Kedaulatan Undang-Undang berasaskan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara.
Bukan berdasarkan dekri (titah) semata-mata,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Terdahulu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah menyarankan ADUN Seri Kembangan, Wong Siew Ki dan bekas Exco DAP, Ronnie Liu datang seminggu sekali ke Dataran Selangor untuk memahami dan menghayati makna Rukun Negara.
Titah baginda, ia supaya mereka menjadi rakyat yang tahu untuk hormat kepada kedaulatan Institusi Raja dan menjaga adab kesopanan dan kesusilaan.
Dalam masa sama, Sultan Selangor turut bertitah menyeru kepada semua wakil rakyat Selangor untuk datang sendiri ke Dataran Selangor setiap dua kali sebulan dan membaca serta memahami makna Rukun Negara yang tertera pada Plak Monumen di situ.
Nnn
