“Gesaan Gobind awal sangat”

SEPANG 19 Ogos – Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari bersetuju dengan gesaan Pengerusi Kebangsaan DAP, Gobind Singh Deo supaya kerajaan memperkenalkan undang-undang khas bagi menjamin semua ahli Parlimen termasuk pembangkang menerima peruntukan sama rata.

Bagaimanapun Ahli Parlimen Pasir Mas itu secara sinis berkata gesaan oleh Menteri Digital itu dibuat terlalu awal.

“Saya setuju, cumanya awal sangat gesaan ini. Patutnya esok nak bubar Parlimen , hari ini barulah buat gesaan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook bagi merujuk kenyataan Gobind.

Terdahulu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan tambahan RM1 juta peruntukan disalurkan bagi setiap kawasan Parlimen.

Beliau berkata, peruntukan itu tidak disalur menerusi ahli Parlimen, sebaliknya menerusi agensi bertanggungjawab untuk menyelesaikan permasalahan rakyat di kawasan masing-masing

Pengumuman Anwar itu mendapat reaksi pelbagai pihak termasuk Gobind serta dalam kalangan ahli Parlimen pembangkang yang menuntut supaya peruntukan tersebut bukan bersifat politik.

Gobind dalam kenyataannya mengalu-ngalukan peruntukan tambahan RM1 juta bagi setiap kawasan Parlimen namun hendaklah diagihkan secara sama rata kepada semua Ahli Parlimen tanpa mengira parti politik.

Beliau berkata prinsip kesamarataan perlu diterapkan kepada semua Ahli Parlimen kerana setiap wakil rakyat mempunyai tanggungjawab untuk menangani keperluan rakyat di kawasan masing-masing.

Katanya, pembaharuan berhubung peruntukan kawasan juga perlu dijadikan sebahagian daripada kerangka undang-undang supaya ia dapat dilaksanakan secara berterusan dan tidak bergantung kepada kerajaan yang memerintah.

Ahli Parlimen Damansara itu berkata, salah satu daripada tanggungjawab wakil rakyat adalah untuk memastikan bahawa tugas mereka dilaksanakan dan ia merangkumi keperluan peruntukan.

Beliau akan sekali lagi membangkitkan perkara itu dengan i Anwar , sambil memaklumkan DAP sebelum ini sudah beberapa kali membawa keperluan berkenaan kepada perhatian Perdana Menteri.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment