SEMUA kakitangan di Kedutaan Amerika Syarikat (AS) dan rakyat AS di Arab Saudi dinasihatkan supaya “berlindung di tempat selamat” susulan peningkatan ancaman peluru berpandu.
Dalam satu notis, kedutaan itu menyatakan sistem amaran awal Arab Saudi tidak sentiasa boleh dipercayai dalam memberikan amaran tepat pada masanya.
“Setakat yang mampu, kekal berada di kediaman atau mana-mana bangunan dan jauhi tingkap,” menurut kenyataan kedutaan sambil mengesyorkan rakyatnya menyimpan bekalan makanan, air, ubat-ubatan serta keperluan asas lain.
Kedutaan turut meneliti laporan ancaman terhadap lokasi yang menjadi tumpuan rakyat Amerika serta memberi amaran bahawa hotel, perniagaan milik Amerika dan institusi pendidikan “berpotensi menjadi sasaran.”
Pada 8 Mac, Jabatan Negara mengarahkan kakitangan kerajaan AS yang tidak terlibat dalam tugas kritikal meninggalkan negara itu.
Kakitangan penting yang masih berada di sana dinasihatkan mengelakkan Kedutaan AS, Konsulat AS di Dhahran serta hotel.
Jabatan Negara turut mengeluarkan amaran keselamatan global pada 22 Mac, menggesa rakyat Amerika di seluruh dunia supaya meningkatkan tahap kewaspadaan.
