Harga diesel meningkat

PUTRAJAYA  1 April – Krisis tenaga global yang semakin meruncing terus memberi tekanan kepada pasaran domestik apabila harga bahan api meningkat ketara melepasi paras amaran.

Menurut Kementerian Kewangan, harga minyak mentah Brent global melonjak lebih 40 peratus sehingga melepasi AS$100 setong.

Namun, tekanan sebenar terhadap harga runcit tempatan berpunca daripada rantaian produk ditapis.

Kementerian itu mendedahkan harga minyak diproses bagi petrol dan diesel masing-masing meningkat kepada sekitar AS$150 setong dan AS$250 setong.

Walaupun berdepan lonjakan kos yang tinggi, kerajaan menegaskan komitmen untuk memastikan rakyat tidak menanggung sepenuhnya kesan kenaikan terbabit.

Sejak krisis Asia Barat meletus, kerajaan tidak mengapungkan sepenuhnya harga runcit di pam malah masih menampung sebahagian kos subsidi petrol dan diesel bagi tempoh tiga minggu berturut-turut,” jelas kementerian itu.

Kesan kenaikan harga global itu dapat dilihat melalui anggaran harga runcit tanpa subsidi bagi tempoh 2 hingga 8 April 2026, apabila harga diesel di Semenanjung meningkat kepada RM6.02 seliter berbanding RM5.52 seliter pada 1 April.

Bagi petrol tanpa subsidi, harga RON97 menurun kepada RM4.95 seliter daripada RM5.15 sebelum ini, manakala RON95 kekal pada kadar RM3.87 seliter.

Sementara itu, kerajaan terus memperkukuh jaringan keselamatan sosial melalui pengekalan harga bersubsidi secara bersasar.

Harga RON95 di bawah inisiatif BUDI95 kekal pada RM1.99 seliter, manakala harga diesel di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) serta bagi pengguna di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan dikekalkan pada RM2.15 seliter.

Sebagai langkah penyesuaian sementara, kerajaan menetapkan had kelayakan BUDI95 kepada 200 liter sebulan bermula 1 April 2026 sehingga keadaan pasaran global kembali stabil.

Bagi mengurangkan beban kos sara hidup, bantuan tunai tambahan interim BUDI Diesel sebanyak RM100 diteruskan bagi April, menjadikan jumlah keseluruhan bantuan kepada penerima BUDI Individu dan BUDI Agri-Komoditi sebanyak RM300 sebulan.

Seiring usaha memastikan pengagihan subsidi lebih cekap, kerajaan turut memperketat penguatkuasaan bagi mengekang ketirisan dan penyeludupan bahan api.

“Kerajaan turut melaksanakan had pengisian diesel bagi mengekang ketirisan dan penyeludupan di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan,” menurut Kementerian Kewangan.

Di bawah peraturan baharu itu, had maksimum pengisian ditetapkan kepada 50 liter bagi kenderaan ringan persendirian, 100 liter untuk kenderaan bawah tiga tan, serta 150 liter bagi kenderaan berat melebihi tiga tan.

Related posts

Leave a Comment